
KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan bahawa semua kes rogol dan jenayah seksual akan disiasat di bawah Kanun Keseksaan tanpa mengira umur pelaku.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, status bawah umur bukan alasan untuk melepaskan individu daripada tanggungjawab jenayah.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat kes, termasuk jika melibatkan pelajar sekolah.
Katanya, walaupun Kementerian Pendidikan mempunyai prosedur tersendiri, jenayah seksual tetap tertakluk kepada undang-undang jenayah negara.
“Bagi undang-undang jenayah, ia tetap satu kesalahan, siasatan akan tetap dijalankan oleh PDRM. Biarlah polis menyiasat supaya tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi moderator untuk forum Nation Building and Future Resilience: Youth and Bullying di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa empat suspek kes rogol di Melaka yang semuanya di bawah umur boleh menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dijadual bermula 3 November depan.
Fadhlina berkata, segala tindakan undang-undang dalam kes itu diserahkan kepada pihak polis dan KPM akan menumpukan kepada pengurusan aspek disiplin serta ekosistem sokongan sekolah termasuk masa depan pendidikan pelajar terlibat.
Menurut Azalina, sekiranya Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan hasil siasatan dan terdapat bukti yang mencukupi, pendakwaan akan dilakukan di mahkamah.