
KUALA LUMPUR: Susulan protes antikerajaan yang memuncak di Indonesia sehingga meragut enam nyawa, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) diarahkan untuk menghantar laporan situasi harian kepada Education Malaysia Indonesia (EMI).
Menurut kenyataan EMI, pihaknya turut mengeluarkan notis kepada PKPMI bagi memastikan semua pelajar Malaysia di republik itu menjaga keselamatan diri dan tidak mendekati sebarang kawasan rusuhan atau terlibat dalam aktiviti demonstrasi.
“PKPMI pusat dan semua cawangan turut diarahkan menghantar laporan situasi harian kepada EMI dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi tujuan pemantauan berterusan,” menurut kenyataan itu.
Dianggarkan sekitar 1,000 pelajar Malaysia kini melanjutkan pengajian di beberapa wilayah di Indonesia.
Yang Dipertua PKPMI Cawangan Jambi, Ahmad Dhia Hariz Rahisham, berkata situasi di wilayah Jambi masih terkawal dan selamat buat pelajar Malaysia, tidak seperti di beberapa kawasan lain seperti Kepulauan Jawa yang terjejas teruk.
“Kami diingatkan oleh EMI dan Duta Besar Malaysia di Jakarta supaya tidak melibatkan diri dalam mana-mana demonstrasi, selain diminta sentiasa mengemas kini maklumat semasa mengenai keadaan di Jambi.
“Alhamdulillah, setakat ini semua pelajar berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan ketegangan meningkat susulan kematian Affan Kurniawan, seorang penunggang ojek, yang dilanggar kenderaan polis semasa menyertai protes di Jakarta.
Demonstrasi besar-besaran itu pada asalnya tercetus akibat kemarahan terhadap elaun perumahan Ahli Parlimen yang dilaporkan mencecah 50 juta rupiah (RM12,835) sebulan.
Ketegangan turut dipacu oleh isu ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, pemotongan subsidi, pemecatan pekerja secara besar-besaran serta pelaksanaan cukai hartanah yang membebankan.