
TAIPING: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM5.4 bilion bagi pelaksanaan 22 projek berkaitan air di negeri Perak meliputi 20 projek sambungan dan dua projek baharu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek-projek dilaksanakan oleh agensi di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tersebut adalah bagi memastikan rakyat akan menikmati bekalan air yang lebih terjamin serta risiko bencana lebih rendah.
Beliau yang merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menambah, antara agensi berkenaan adalah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Jabatan Bekalan Air (JBA) serta Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

“Selain itu, ia juga membuka peluang ekonomi baharu yang berasaskan kepada sumber air yang lestari,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 di Padang Merbok, Taman Tasik Taiping di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh serta Ketua Pengarah JPS Datuk Mohamad Radzi Abdul Talib.
Beliau menambah, program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) juga merupakan salah satu inisiatif penting dalam penjagaan sungai di negara ini.
Fadillah berkata, program DSK bukan sekadar membina laluan, malah membina kesedaran dan rasa tanggungjawab atau sense of belonging terhadap sungai.

“DSK juga membolehkan komuniti setempat menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran.
“PETRA melalui JPS telah memperuntukkan RM1.05 juta untuk pembinaan DSK di Perak, termasuk di Sungai Batu Tegoh.
“Dengan adanya program DSK, lokasi ini bukan sahaja menjadi tempat riadah, malah berpotensi untuk menjana ekonomi setempat dengan pelbagai aktiviti seperti aktiviti ekopelancongan,” ujarnya.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai 189 lembangan sungai utama, termasuk 11 yang berada di Perak, namun semua pihak tidak boleh berbangga jika kualiti sungai tidak terpelihara.
“Laporan terkini dari Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bahawa sebanyak 27 sungai di Malaysia masih tercemar. Statistik ini adalah peringatan dan amaran untuk kita semua,” katanya.
Menyedari cabaran ini, Fadillah berkata, PETRA melalui JPS telah melaksanakan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM).
“Pendekatan ini adalah satu usaha bersepadu yang melibatkan semua pihak berkepentingan, bertujuan untuk memastikan ketersediaan air bersih, mengurangkan risiko banjir dan memulihara alam sekitar.
“Tahniah kepada Perak kerana lima Pelan IRBM telah siap dan satu lagi sedang dalam pelaksanaan. Saya berharap negeri ini akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain melalui pelaksanaan pelan IRBM yang mana pengurusan sungai di Perak akan lebih terancang dan efisien,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, pemilihan Sungai Batu Tegoh sebagai tuan rumah kepada sambutan tahun ini adalah tepat, dengan keindahan alam dan kejernihan airnya yang menjaditarikan kepada pengunjung di Perak.
Beliau berkata di Sungai Batu Tegoh juga terletaknya projek DSK yang telah siap pada 2024, dengan projek itu membuktikan bahawa sungai boleh menjadi lebih daripada sekadar sumber air malah berpotensi menjadi pusat rekreasi untuk menjana ekonomi setempat.
Menyentuh mengenai Hari Sungai Sedunia, Fadillah berkata sambutan yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu setiap tahun itu bertujuan menyuntik kesedaran mengenai betapa pentingnya sungai, dengan tema sambutan tahun ini dikekalkan iaitu “Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita” sebagai peringatan bahawa sungai nadi kehidupan masyarakat yang menuntut perhatian serta tanggungjawab bersama.