
PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 19 September 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes melibatkan penyanyi dan pelakon Naim Daniel, yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim M Kunasundary dalam prosiding tertutup yang berlangsung di mahkamah pagi tadi.
Naim Daniel, atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada pukul 8.56 pagi pada 19 Mei 2025.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan ke atasnya.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin mengendalikan pendakwaan, manakala pihak pembelaan diketuai oleh peguam Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, bersama Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.