
SERDANG: Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) dilaporkan selamat selepas kapal dinaiki mereka dipintas rejim Zionis sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan semua 145 aktivis misi berkenaan telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.
Beliau berkata, peguam ADALAH juga telah bertemu dengan tujuh rakyat Malaysia bagi urusan guaman selanjutnya.
“Dua orang lagi dijangka dapat ditemui hari ini (waktu Gaza),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini FFC di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, peguam ADALAH telah memohon untuk menghadiri semua perbicaraan melibatkan aktivis yang ditahan dan akan terus memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Terdapat di antara mereka mengalami keganasan semasa pemintasan dan peguam telah meminta untuk bertemu dengan mereka awal petang ini (waktu Gaza),” katanya.
Katanya, aktivis-aktivis juga melaporkan barangan peribadi mereka seperti pakaian, power bank dan lain-lain telah dirampas, namun tiada kecederaan serius setakat ini disahkan termasuk kemungkinan berlakunya insiden keganasan terhadap delegasi Malaysia.
Selain itu, Kamarul Zaman memaklumkan terdapat kemungkinan tiga ahli parlimen Turki yang menyertai flotilla berkenaan akan dihantar pulang sama ada malam ini atau pagi esok.
“Perbicaraan tribunal melibatkan semua delegasi yang ditahan termasuk dari Malaysia dijangka diadakan dalam tempoh dua hari lagi sebelum mereka boleh dibebaskan,” katanya.
Kamarul Zaman berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan telah menghubungi Presiden Turkiye, Presiden Recep Tayyip Erdogan berhubung perkara berkenaan dan usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menguruskan proses penghantaran pulang rakyat Malaysia.