
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengesahkan bahawa perang di Gaza telah berakhir ketika beliau berlepas ke Timur Tengah bagi menghadiri sidang kemuncak antarabangsa berhubung gencatan senjata yang dipersetujui di wilayah berkenaan.
“Perang sudah berakhir, faham?” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland menuju ke destinasi pertamanya, Tel Aviv, lapor Anadolu Ajansi.
Beliau menjawab pertanyaan mengenai Perdana Menteri, Israel Benjamin Netanyahu yang belum mengakui berakhirnya konflik itu.
Trump berkata, beliau yakin perjanjian gencatan senjata berdasarkan pelan 20 perkara yang diumumkannya Rabu lalu akan kekal utuh.
“Terdapat banyak sebab mengapa ia akan bertahan. Tapi saya fikir semua orang sudah letih dengannya. Ini bukan baru-baru ini, tapi sudah berlarutan berabad lamanya,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Trump mengumumkan bahawa Israel dan kumpulan Palestin Hamas bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan 20 perkara bagi melaksanakan gencatan senjata di Gaza.
Pelan itu merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza. Fasa pertama berkuat kuasa pada Jumaat.
Fasa kedua pula melibatkan penubuhan badan pentadbiran baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penempatan pasukan multinasional dan pelucutan senjata kumpulan itu.