
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) hari ini menggesa kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal pemalsuan dokumen pemain warisan yang membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), seperti yang didedahkan dalam laporan penuh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata siasatan menyeluruh perlu dilakukan terhadap semua pihak yang terlibat dalam penyediaan serta pengesahan dokumen palsu, termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan juga perlu menyiasat sekiranya wujud unsur rasuah, salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam isu ini,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Takiyuddin, keperluan untuk menyiasat semakin mendesak memandangkan FAM sendiri dalam kenyataannya pada 11 Jun lalu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan berhubung dokumentasi pemain-pemain terbabit.
Laporan FIFA mendedahkan dokumen warisan tujuh pemain naturalisasi yang didaftarkan oleh FAM mengandungi maklumat tidak benar, khususnya berkaitan asal-usul datuk dan nenek mereka yang sebenarnya bukan warganegara Malaysia.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha; Facundo Tomás Garcés; Rodrigo Julián Holgado; Imanol Javier Machuca; João Vitor Brandão Figueiredo; Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Takiyuddin berkata, JPN sendiri mengesahkan pihaknya tidak pernah menerima dokumen asal berkaitan pemain-pemain terbabit.
Sebaliknya, sijil yang dikeluarkan adalah berdasarkan maklumat sekunder atau dengar cakap (hearsay).
“Ini bukan lagi kesilapan pentadbiran, tetapi pemalsuan dokumen rasmi negara, yang mencemarkan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, laporan FIFA secara jelas menyatakan isu ini bukan bersifat teknikal, sebaliknya merupakan satu penipuan yang terancang, mencerminkan kelemahan serius dalam sistem semakan dokumen melibatkan FAM, JPN dan Kementerian Dalam Negeri.
“Malaysia seolah-olah dilihat sebagai sebuah negara yang gagal mempertahankan integriti dalam urusan rasmi antarabangsa,” kata Takiyuddin.