
KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia (UPM) meluahkan kekesalan dan memohon maaf berhubung insiden pengendalian anjing liar dalam kawasan kampus yang tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, UPM memandang serius isu yang dilaporkan berlaku pada hujung tahun lalu dan menegaskan komitmen menguruskan haiwan liar secara berhemah, beretika serta mematuhi peraturan semasa.
UPM turut menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan dan keselamatan warga kampus, selain menegaskan kesediaan untuk menambah baik prosedur sedia ada.
Universiti itu menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), serta memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses penyiasatan.
Kontroversi tercetus selepas lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) dan kira-kira 100 aktivis berhimpun pada 12 Oktober lalu, menggesa tindakan diambil terhadap Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP), Ng Yee Guan.
Mereka mendakwa berlaku pembunuhan anjing secara tidak berperikemanusiaan dalam kawasan kampus.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka), yang mengetuai perhimpunan itu, turut mendakwa terdapat unsur penyalahgunaan wang universiti. Presiden Peka, Rajesh Nagarajan, mendakwa kontraktor yang dilantik UPM mengenakan bayaran RM400 bagi setiap pelupusan anjing liar, sedangkan kadar sebenar hanya RM220 berdasarkan siasatan penyamaran yang dijalankan oleh pihak NGO.
Sebagai langkah awal bagi menjaga integriti siasatan, UPM memaklumkan Yee Guan telah dilepaskan daripada tugasan operasi sebagai Pengarah PPKKP sehingga siasatan selesai.
“UPM turut menggantung semua aktiviti pengendalian haiwan liar di kampus sementara satu prosedur operasi standard (SOP) baharu dirangka.
“SOP baharu itu kelak akan memberi penekanan terhadap keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan serta pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015.
“UPM juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dalam usaha membangunkan pendekatan pengurusan haiwan liar yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu.
Peka sebelum ini turut memberi tempoh lima hari kepada UPM untuk Ahmad Farhan dan Yee Guan memberi penjelasan berhubung isu tersebut, atau mereka akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berhimpun di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Mereka juga tidak menolak kemungkinan untuk memfailkan kes di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa sebagai penjawat awam.
Menurut Peka, satu invois bertarikh November 2024 yang dihantar kepada UPM menunjukkan caj untuk “menangkap dan melupuskan anjing liar”, namun tidak menyatakan kaedah pelupusan yang digunakan.
Invois tersebut turut memaparkan beberapa cop rasmi yang didakwa milik universiti, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan etika dalam pelaksanaan kontrak tersebut.