
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) memantau secara rapat insiden penahanan sembilan sukarelawan Malaysia oleh pihak berkuasa Israel semasa mereka menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, pagi tadi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Wisma Putra bersedia mengambil tindakan diplomatik sewajarnya, termasuk bekerjasama dengan negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel bagi membantu menyelesaikan isu tersebut.
“Insya Allah, Wisma Putra mengikuti isu ini secara dekat dan bersedia mengambil langkah perlu, termasuk menggunakan saluran diplomatik tertinggi melalui hubungan kita dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan dengan Israel,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama, hari ini.
Fahmi memaklumkan kerajaan masih menunggu maklumat lanjut berkaitan nasib kesemua sukarelawan, namun menjangkakan perkembangan lebih jelas akan diterima menjelang acara Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara yang berlangsung malam ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menurut kenyataan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), kesemua sukarelawan Malaysia terlibat menaiki kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang dipintas oleh tentera Israel sekitar jam 10.50 pagi waktu Malaysia.
Lapan daripada mereka menaiki kapal Conscience yang berlepas dari Porto Otranto, Itali pada 30 September lalu, diketuai oleh Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, bersama tiga lagi wakil iaitu Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut berada di atas kapal itu ialah dua pensyarah universiti, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, menyertai kapal Umm Saad yang bertolak dari Catania, Sicily pada 27 September, bersama tujuh kapal layar lain dalam konvoi menuju ke Gaza.
Misi kemanusiaan ini bertujuan menyampaikan bantuan serta memberikan liputan langsung terhadap situasi kritikal di Gaza yang masih dikenakan sekatan ketat oleh Israel.
Keseluruhan misi ini melibatkan sekitar 150 peserta dari 25 negara, dengan MyCARE memimpin penyertaan dari Malaysia.