KUALA LUMPUR: Seramai 103,500 anggota pasukan keselamatan dan agensi penyelamat di seluruh negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir sepanjang Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataannya berkata, kekuatan tersebut melibatkan penyertaan pelbagai agensi utama termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seramai 4,770 anggota, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 20,600 anggota, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan 15,640 anggota.
Selain itu, 15,390 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan 47,100 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut digerakkan bagi membantu operasi penyelamatan dan pengurusan mangsa di kawasan terjejas.
“Pelbagai aset turut disediakan bagi mempercepatkan gerak kerja operasi di lapangan termasuk 2,555 bot, 1,843 kenderaan pacuan empat roda, 1,172 lori, 25 helikopter serta 34,092 jaket keselamatan,” kata kenyataan itu.
Menurut NADMA, kesiapsiagaan logistik turut diperkukuhkan dengan memastikan bekalan kit makanan mencukupi bagi diagihkan segera kepada mangsa bencana di seluruh negara.
“Sehingga 27 Ogos lalu, sebanyak 62,650 kit makanan (KM) dan 91,440 unit makanan retort (MRE) telah dihantar ke negeri-negeri berisiko tinggi, khususnya kawasan yang sering dilanda banjir.
“Bagi persiapan MTL tahun ini, NADMA memperuntukkan 60,000 kit makanan dan 110,000 unit MRE untuk dihantar ke seluruh negara. Daripada jumlah itu, 23,600 kit makanan dan 20,570 MRE digerakkan lebih awal sebagai fasa pertama penghantaran,” katanya.
Antara negeri menerima jumlah tertinggi penghantaran awal ialah Kelantan (4,500 KM/6,000 MRE), Terengganu (2,500 KM/2,500 MRE) dan Pahang (3,000 KM/3,000 MRE).
Bagi negeri di Malaysia Timur pula, Sabah menerima (4,000 KM/3,000 MRE) manakala Sarawak menerima (5,000 KM/1,870 MRE).
NADMA menjelaskan, langkah penghantaran awal ini penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera sebaik bencana berlaku, tanpa perlu menunggu penghantaran tambahan daripada pusat agihan.
