
KUALA LUMPUR: Seramai 11 ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor mengumumkan peletakan jawatan masing-masing susulan krisis kepimpinan yang melanda parti itu.
Keputusan tersebut dilaporkan melibatkan ketua bahagian Bersatu di Pontian, Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Johor Bahru, Pengerang, Labis, Tanjung Piai, Seri Gading, Ledang dan Pulai.
Wakil kumpulan berkenaan, Isa Ab. Hamid dari Bersatu Pontian berkata, tindakan itu diambil berikutan krisis kepimpinan berlarutan termasuk pemecatan beberapa pemimpin kanan dan Ahli Parlimen yang menyebabkan hala tuju parti semakin kabur.
Katanya, situasi berkenaan turut menjejaskan kepercayaan ahli serta pengundi terhadap parti.
“Krisis kepimpinan yang berpanjangan termasuk pemecatan pemimpin kanan dan wakil rakyat menyebabkan hala tuju parti semakin tidak jelas serta menghakis keyakinan akar umbi,” katanya mewakili semua ketua bahagian terlibat.
Beliau turut mendakwa kegagalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Bersatu Johor, Sahruddin Jamal menyatupadukan ketua bahagian serta akar umbi menjadi antara faktor mereka hilang keyakinan untuk terus memegang jawatan.
Katanya, keadaan itu lebih membimbangkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebelum ini, Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) antaranya empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Ahli yang dipecat bagaimanapun diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan.
Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak 22 bahagian Bersatu di seluruh negara turut mengumumkan pembubaran masing-masing.
Namun, seorang pemimpin kanan parti, Azmin Ali dalam satu kenyataan menegaskan Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli untuk membubarkan bahagian.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan beberapa bahagian yang mengumumkan pembubaran atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti selepas pemecatan Setiausaha Agungnya sebelum ini.







