
KUALA LUMPUR: Seramai 16 Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan terbuka terhadap gesaan Naib Presiden parti, Ronald Kiandee agar Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden parti itu.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kumpulan wakil rakyat berkenaan memaklumkan walaupun mengiktiraf jasa serta sumbangan Muhyiddin sebelum ini, mereka berpandangan kepimpinan sedia ada tidak lagi berupaya menyatukan parti dan memimpin ke arah kemenangan pada masa hadapan.
Katanya, perubahan kepimpinan perlu dilaksanakan bagi mengembalikan fokus perjuangan parti kepada agenda rakyat dan negara selain memulihkan keyakinan akar umbi serta memperkukuh kesatuan dalaman.
Mereka turut menyuarakan keyakinan terhadap Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemangku presiden sekiranya berlaku kekosongan jawatan.
“Langkah ini diyakini dapat menyatukan semula parti dan memperkemaskan strategi politik menjelang pilihan raya akan datang,” menurut kenyataan itu.
Antara Ahli Parlimen yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Zikri Hassan (Kangar), Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), Khlir Mohd. Nor (Ketereh), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Turut menandatangani kenyataan berkenaan ialah Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hassan (Padang Rengas), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Kalam Salan (Sabak Bernam), Muslimin Yahaya (Sungai Besar) serta Islahuddin Abas (Mersing).
Selasa lalu, Ronald yang juga Ketua Bersatu Sabah menjadi pemimpin kanan pertama yang secara terbuka mendesak Ahli Parlimen Pagoh itu berundur daripada jawatan tertinggi parti.
Beliau mendakwa Muhyiddin gagal menguruskan krisis dalaman parti secara berkesan sehingga kemelut tersebut berlarutan dan sukar dipulihkan.
Bersatu sebelum ini dilaporkan berdepan kemelut dalaman sejak beberapa bulan lalu susulan krisis kepimpinan antara Muhyiddin dan Hamzah yang juga Ketua Pembangkang.
Pergolakan tersebut mencetuskan gesaan daripada kedua-dua kem agar beberapa pemimpin berundur, selain tindakan disiplin terhadap tiga Ahli Parlimen termasuk Wan Saiful dan Saifuddin yang akhirnya dipecat daripada parti.
Gesaan supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu semakin memuncak susulan pertikaian dengan PAS berhubung jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), yang dilepaskannya pada 1 Januari lalu.
Jawatan itu sehingga kini masih belum diisi, manakala Majlis Tertinggi PN belum mengadakan mesyuarat bagi mengesahkan peletakan jawatan berkenaan serta melantik pengganti baharu







