
KOTA TINGGI: Seramai 21 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalani kursus di kolej ketenteraan di Pakistan dan India ketika ini dalam keadaan selamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, mereka terbabit dalam pelbagai kursus di kolej ketenteraan di dua negara Asia Selatan berkenaan.
Terdapat 21 anggota dan pegawai ATM di Pakistan dan India, iaitu 18 di kolej ketenteraan di India manakala tiga lagi di Pakistan.
“Namun mereka tidak terbabit di lokasi kawasan konflik dan serangan di sempadan Pakistan dan India.
“Ketika ini mereka dalam keadaan selamat dan sebahagian besar akan tamat kursus akhir tahun ini.
“Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan akan terus memantau keadaan semasa di Pakistan dan India sebelum mengambil apa-apa langkah seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Projek Jana Veteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, di sini, hari ini.
Terdahulu, pasukan tentera Pakistan diberikan ‘kuasa penuh’ oleh kerajaan untuk menyerang bagi menuntut bela terhadap kematian akibat serangan India awal pagi semalam.
Perkembangan itu secara langsung menandakan kemungkinan peningkatan ketegangan terburuk dalam beberapa dekad antara dua negara jiran yang memiliki senjata nuklear.
Serangan India dilancarkan dua minggu selepas New Delhi mendakwa Islamabad menyokong serangan terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India, namun tuduhan itu dinafikan Pakistan.