
KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, pada 9 April lalu di Putrajaya, adalah rancangan yang dibuat wanita terbabit sendiri.
Elemen itu adalah antara intipati yang turut diambil kira pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata beliau tidak menolak kemungkinan faktor itu, namun pada masa ini konteks itu masih berada dalam peringkat awal siasatan.
“Kita tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini, namun ia turut diambil kira dalam elemen siasatan kita.
“Berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati mangsa mengikut arahan suspek yang melarikannya tanpa berlaku sebarang pergelutan dan situasi pergerakan penculikan berjalan lancar.
“Kita menyiasat dari semua aspek sama ada kes ini benar-benar satu penculikan atau sesuatu yang dirancang oleh mangsa sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Rusdi berkata, polis mengesahkan tiada sebarang operasi atau serbuan direkodkan di sekitar kawasan Putrajaya, pada hari Pamela.
Ia sekali gus menepis dakwaan yang dua daripada tiga suspek dikesan melarikan Pamela memakai jaket dan pakaian seragam menyerupai pakaian pegawai polis.
Rusdi berkata, hasil semakan mendapati tiada mana-mana operasi polis dilakukan ketika tempoh Pamela dilarikan antara pukul 1.50 tengah hari hingga pukul 2.10 petang itu.
“Saya sahkan PDRM tidak melakukan operasi atau serbuan dan suspek yang terbabit melarikan Pamela disyaki individu yang menyamar sebagai polis.
“Siasatan masih dijalankan dan pihak polis masih menyelusuri semua laluan kemungkinan yang dilalui suspek berdasarkan rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.





