
KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli menafikan dia cuai dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan aduan yang diterima berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan tidak bersetuju bahawa terdapat aspek penting yang terlepas pandang sepanjang proses siasatan tersebut.
Ketika disoal balas peguam bela, Hajjan Omar, Zulhilmi mengakui tidak mengetahui ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli pernah menyertai proses tender terbuka pada 2012 menerusi sebuah lagi syarikat, VST Cemerlang Sdn. Bhd.
Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa sembilan syarikat menyertai tender projek berkenaan. Syarikat milik Zarul ketika itu, Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., memperoleh markah penilaian tinggi sebelum berjaya memenangi tender tersebut.
Hajjan membangkitkan kemungkinan wujud unsur “pakatan bida” dan mempersoalkan mengapa hubungan antara Zarul dengan VST tidak disiasat, memandangkan perkara itu boleh memberi kesan kepada kredibiliti saksi utama pendakwaan.
Bagaimanapun, Zulhilmi menegaskan dia tidak mengetahui perkara tersebut dan tidak menganggap kaitan Zarul dengan VST sebagai elemen penting dalam siasatan terhadap Guan Eng.
Dalam prosiding itu, Guan Eng berdepan pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk meminta 10 peratus keuntungan daripada projek terowong dasar laut Pulau Pinang selain menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta daripada Zarul.
Beliau turut menghadapi dua lagi pertuduhan berkaitan penyalahgunaan tanah milik kerajaan negeri yang dianggarkan bernilai RM208.7 juta.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan bersambung pada 23 Julai depan.




