
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta komited mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Kerajaan Persekutuan tidak terlibat secara langsung dalam isu berkaitan pemerintahan Negeri Sembilan, kemuliaan institusi diraja perlu terus dipelihara mengikut peruntukan undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Kalau kita ikut sekarang susur galur setakat ini, kita tetap bekerja dan mengiktiraf kedudukan Yang Dipertuan Negeri Sembilan Tuanku Muhriz.
“Saya mohon supaya apa-apa pandangan yang lain dibuat mengikut jalur yang sah mengikut perlembagaan tanpa menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti Puchong dekat sini hari ini.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas laporan media mengenai pertabalan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka hari ini.
Anwar turut menyifatkan perkembangan di Negeri Sembilan sebagai membimbangkan dan menegaskan sebarang tindakan melalui saluran undang-undang perlu berasaskan hujah yang kukuh.
“Menggugurkan atau memakzulkan mana-mana raja akan memberikan implikasi yang sangat besar bagi negara dan keamanan negara sebab itu kita pandang berat dan saya juga telah menyampaikan pandangan ini kepada pihak berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut menyokong tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi mendapatkan mandat rakyat dalam menyelesaikan kemelut tersebut.






