
KUALA LUMPUR: Institusi muzium di negara ini perlu beralih daripada konsep pameran konvensional kepada pengalaman lebih imersif, interaktif dan berorientasikan pengunjung bagi menarik minat masyarakat khususnya generasi muda.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pendekatan baharu itu penting bagi memastikan muzium terus relevan sebagai institusi pemeliharaan sejarah, warisan dan pembinaan identiti nasional.
Beliau berkata, muzium tidak seharusnya sekadar menjadi lokasi lawatan sekali-sekala, sebaliknya perlu berkembang sebagai destinasi pilihan rakyat yang mampu mendorong pengunjung untuk datang semula bersama keluarga.
” Kita perlu berani beralih daripada konsep pameran konvensional kepada pengalaman yang lebih imersif, bersifat partisipatif dan berorientasikan pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Nostalgia Anak Kampung: Kerja Kampung 2026 di Dataran Muzium Negara, di sini, semalam.
Aaron berkata, usaha merakyatkan muzium perlu diperkukuh menjelang 2027 menerusi tiga pendekatan utama, iaitu memperluas penglibatan komuniti, mempercepat pendigitalan khazanah nasional serta meningkatkan penyertaan generasi muda.
Katanya, masyarakat setempat perlu diberikan peranan sebagai rakan pemelihara warisan melalui penglibatan langsung dalam mengenal pasti, mendokumentasi dan mengetengahkan sejarah serta tradisi komuniti masing-masing.
“Selain itu, pendigitalan koleksi sejarah dan bahan warisan negara perlu dipercepatkan bagi membolehkan khazanah berkenaan diakses lebih meluas tanpa batasan lokasi dan masa.
“Penggunaan teknologi seperti galeri maya, realiti terimbuh (AR) dan kecerdasan buatan (AI) juga boleh diperluas bagi menghasilkan pengalaman penerokaan warisan yang lebih menarik,” jelasnya.

Dalam usaha mendekati golongan muda, beliau menambah, program seperti Inspirasi Pelajar Inovasi Muzium (IPIM), Bermalam di Muzium dan Program Kurator Muda perlu terus diperkasakan.
“Generasi muda perlu diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman permuziuman melalui aktiviti interaktif, pertandingan inovasi, penyelidikan, penciptaan kandungan digital dan penceritaan sejarah,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan 100 program dari Januari hingga Oktober tahun ini menerusi pelbagai pengisian termasuk Citra Nusa, Fiesta Uniti, pameran sementara, forum, seminar dan program bersama komuniti.

Beliau menambah, JMM turut memperluas jaringan kerjasama dengan 55 rakan strategik daripada sektor awam dan swasta yang menyumbang dalam bentuk penajaan, kepakaran, perkhidmatan, promosi, kemudahan serta khidmat nasihat.
“Muzium juga memainkan peranan penting dalam agenda pembinaan negara bangsa kerana menjadi institusi yang menyimpan memori kolektif negara, termasuk sejarah pembentukan Malaysia, perjuangan kemerdekaan dan kepelbagaian budaya masyarakat.
“Saya juga mohon JMM memberikan perhatian khusus kepada Muzium Adat di Negeri Sembilan yang berpotensi diperkasakan sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan pendidikan warisan adat serta budaya masyarakat Malaysia,” katanya.
Program Nostalgia Anak Kampung: Kerja Kampung 2026 yang dianjurkan JMM mengetengahkan pelbagai aspek kehidupan tradisional masyarakat menerusi pameran, demonstrasi kemahiran, persembahan kebudayaan dan permainan tradisional.
Antara pengisiannya termasuk Pameran Kerja Kampung, Pameran Jelapang Bangsa, gastronomi, pameran Mahakarya Tembikar Perak, demonstrasi pembuatan wau dan ukiran kayu, persembahan wayang kulit serta pertandingan permainan tradisional.






