
KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai hab teknologi digital serantau menerusi kelulusan pelaburan bernilai RM95.8 bilion bagi projek pusat data dan pengkomputeran awan pada separuh pertama 2026.
Perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekosistem digital negara, khususnya dalam pembangunan infrastruktur yang menyokong penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, ia sekali gus membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk meneroka ekonomi berasaskan teknologi.
“Kejayaan pelaburan dalam sektor pusat data dan pengkomputeran awan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan nilai modal yang dibawa masuk, sebaliknya perlu dilihat dari sudut keupayaan tenaga mahir tempatan memanfaatkan infrastruktur berkenaan.
“Jurutera dan pembangun perisian tempatan, khususnya, perlu diberikan ruang dan peluang untuk menggunakan kemudahan tersebut bagi menghasilkan produk serta penyelesaian teknologi buatan Malaysia yang mampu bersaing di pasaran serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perasmian AWS Cloud and AI Day 2026 dan pelancaran inisiatif Semarak AI Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Johari menambah, inisiatif Semarak AI Malaysia diperkenalkan menerusi tiga teras utama iaitu AI Negara, AI Ekonomi dan AI Rakyat bagi memperluas penggunaan teknologi AI dalam kalangan penjawat awam, usahawan serta rakyat Malaysia, khususnya dalam urusan pekerjaan dan pembelajaran.
Dalam pada itu, beliau menambah, menerusi teras AI Ekonomi, Amazon Web Services (AWS) bersama rakan tempatan menyasarkan untuk menyediakan akses percuma selama enam bulan kepada perisian AI kepada 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang layak menjelang 2028.
“Kemudahan itu dijangka membuka peluang kepada lebih banyak PKS meneroka penggunaan AI dalam operasi perniagaan termasuk mengoptimumkan masa, mengurangkan kos serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelanggan.
“Usaha berkenaan juga dilihat sebagai langkah memperluas akses teknologi kepada perusahaan tempatan, khususnya perniagaan yang masih dalam peringkat awal menerapkan penyelesaian digital,” katanya.
Beliau menjelaskan, pelancaran Semarak AI Malaysia turut memperlihatkan penekanan terhadap keperluan memastikan manfaat perkembangan teknologi AI dapat dinikmati secara lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada syarikat teknologi berskala besar.
Katanya, dengan pelaburan infrastruktur digital yang semakin berkembang, cabaran seterusnya adalah memastikan rakyat, sektor awam dan industri tempatan mempunyai kemahiran serta keupayaan untuk memanfaatkan teknologi berkenaan bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.






