
KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan (LP) menafikan dakwaan berlaku kebocoran soalan Ujian Bertutur Bahasa Inggeris (UBBI) bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan hari ini, LP menegaskan, penyediaan dan pengendalian instrumen peperiksaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan mematuhi aspek keselamatan dan kerahsiaan selaras dengan Akta Rahsia Rasmi 1972.
“Hasil penelitian mendapati maklumat yang tersebar sebenarnya merupakan senarai tema umum dan ramalan berdasarkan kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
“Persamaan tema atau kata kunci yang dikongsi dengan instrumen peperiksaan sebenar tidak membuktikan berlakunya kebocoran soalan.
“Ia kerana sesuatu tema boleh dikembangkan kepada pelbagai bentuk soalan, situasi dan tugasan berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, semua pihak diingatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya.
Katanya, Calon SPM 2026 dinasihatkan supaya kekal tenang dan memberikan tumpuan kepada peperiksaan yang sedang berlangsung.
LP kekal komited untuk memastikan keselamatan, kerahsiaan dan integriti peperiksaan SPM 2026 sentiasa terpelihara demi menjamin keadilan kepada semua calon.







