
SIBU: Sebanyak 46 projek berkaitan air bernilai RM7.4 bilion diluluskan di Sarawak di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Ia bagi memperkukuh pengurusan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, daripada jumlah berkenaan, 33 projek adalah projek sambungan yang sedang dilaksanakan, manakala 13 lagi membabitkan projek baharu.
“Pelaksanaan projek berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dalam memastikan pengurusan sungai dan sumber air di Sarawak dilaksanakan secara mampan.
“Usaha berkenaan turut merangkumi kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dan inisiatif penglibatan komuniti bagi memelihara kelestarian sungai,” katanya.
Beliau berucap demikian sempena Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang bertemakan “Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita”di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 2, di sini hari ini.

Sambutan Hari Sungai Sedunia (HSS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pemilihan Sibu sebagai lokasi sambutan amat signifikan kerana bandar itu terletak di Lembangan Batang Rajang, lembangan sungai terbesar di Malaysia yang penting kepada kehidupan masyarakat, kelestarian ekosistem dan pembangunan ekonomi Sarawak, termasuk penjanaan tenaga hidroelektrik.
Sambutan turut menyaksikan peluncuran Garis Panduan Pembangunan dalam Koridor Sungai serta penyampaian Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026 sebagai pengiktirafan terhadap usaha komuniti dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air.

Selain itu, Fadillah menambah, enam projek diserahkan kepada Kerajaan Sarawak merangkumi Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kampung Semarang, Pusa, Betong; Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Pesang di Kampung Pesang; DSK Sungai Serian di Kampung Stabut, Serian; serta kajian IRBM Batang Samarahan, Sungai Sibuti dan Batang Saribas.
Beliau berkata, pembinaan DSK di Sarawak pada tahun ini turut menjadi antara usaha memperkukuh penglibatan masyarakat dalam pemeliharaan sungai dengan menyediakan ruang rekreasi dan pendidikan alam sekitar.
“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan orang ramai menghargai sungai serta memainkan peranan dalam memastikan kebersihan dan kelestariannya terus terpelihara,” katanya.
Lebih 1,000 pengunjung menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan ini, antaranya Program Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) di sekitar Sibu dan Kapit, pertandingan memancing di Batang Rajang, pertandingan fotografi, videografi dan mewarna, Pocket Talk, River Walk serta Pameran dan Jualan Rahmah.

Selaras dengan Dasar Air Negara dan Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040), PETRA akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan sungai serta sumber air diurus secara mampan.
Usaha berkenaan penting untuk menjamin kelestarian sumber air, melindungi alam sekitar dan memelihara kesejahteraan rakyat untuk generasi akan datang.
Dalam pada itu, CBT Kalang Rengas, Terengganu, dinobatkan sebagai penerima tempat pertama Anugerah Khas Sumber Air (AKSA) 2026.
Kejayaan itu mengiktiraf usaha komuniti Kampung Gunung, Hulu Terengganu, membangunkan kawasan Sungai Berang sebagai destinasi ekopelancongan lestari yang bukan sahaja memanfaatkan keindahan alam semula jadi, malah membuka peluang pekerjaan dan menjana pendapatan penduduk setempat.
Sebagai johan, CBT Kalang Rengas menerima plak penghargaan berserta geran pembangunan RM20,000.
Tempat kedua menjadi milik Komuniti River Ranger Sungai Terap, Perak, yang menerima geran pembangunan RM15,000, manakala Taman Jajar Urban Farming, Pulau Pinang, menduduki tempat ketiga dengan geran RM10,000.
AKSA yang diperkenalkan pada 2019 itu dilaksanakan setiap tahun bersempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat kebangsaan bagi mengiktiraf peranan, pencapaian dan keupayaan komuniti dalam menyokong usaha pemeliharaan sungai.

Penilaian anugerah merangkumi perancangan aktiviti, impak terhadap alam sekitar, aspek keselamatan awam dan alam sekitar serta pengiktirafan daripada pihak luar.
Bagi edisi 2026, sebanyak sembilan pencalonan diterima selepas proses permohonan dibuka dari 10 Februari hingga 31 Mac lalu. Kesemua calon turut membuat pembentangan kepada Jawatankuasa Panel Hakim sebelum empat penyertaan disenarai pendek untuk sesi lawatan tapak bagi tujuan verifikasi dan penilaian.







