
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan sudah mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, susulan dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam sidang media, semalam.
Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau sudah berbincang dengan pasukan peguamnya yang berpandangan terdapat asas kukuh untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Ramanan berhubung kenyataan yang didakwa melanggar undang-undang fitnah negara.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas meneliti pelbagai dakwaan yang dibangkitkan Ramanan, termasuk tuduhan mengaitkannya dengan rasuah.
“Saya sudah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan proses saman terhadap Ramanan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Ramanan yang juga Naib Presiden PKR menyifatkan Rafizi sebagai pembohong bersiri kerana didakwa sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutarbelitkan keadaan.
Ramanan berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu didakwa beberapa kali mengeluarkan kenyataan tidak benar sebelum memohon maaf.
Beliau turut mendakwa perkara yang lebih menjengkelkan ialah tindakan Rafizi mengadakan kutipan awam untuk mendapatkan wang daripada rakyat apabila kalah dalam saman di mahkamah.
Dalam sidang media sama, Ramanan turut mendesak Rafizi menjawab dakwaan berkaitan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, khususnya isu penyalahgunaan kuasa membabitkan Yayasan Hijau Malaysia.
Kenyataan Ramanan itu dipercayai merujuk dakwaan Rafizi sebelum ini bahawa beliau masih belum menerima writ saman daripada Ramanan berhubung tuduhan menerima RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin, bagi menyelesaikan isu mafia korporat.
Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa tindakan saman wajar diambil kerana Ramanan terus mengelak daripada menjawab beberapa dakwaan berkaitan dirinya dan rasuah.
Beliau turut mendakwa sidang media Ramanan itu menunjukkan bahawa menteri berkenaan tidak pernah mengambil tindakan mahkamah berhubung kenyataannya sebelum ini yang mengaitkan Ramanan dengan dakwaan menerima suapan RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu mafia korporat.
Menurut Rafizi, Ramanan juga mengulangi pendirian untuk tidak mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berkenaan, meskipun sebelum ini mencabar pihak yang mengaitkannya dengan dakwaan itu supaya mengemukakan bukti.
Rafizi yang juga pemimpin Bersama mendakwa kenyataan berkenaan turut menimbulkan persoalan terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen minggu ini bahawa Ramanan sudah mengambil tindakan mahkamah.
Katanya, sekiranya Ramanan tidak mengambil tindakan saman terhadapnya berhubung kenyataan terdahulu, keadaan itu membuka ruang untuk beliau membawa menteri berkenaan ke mahkamah susulan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam sidang media semalam.






