
BERCUTI hari ini bukan lagi sekadar mengunjungi tempat menarik, merakam momen di lokasi popular atau menikmati pemandangan indah.
Trend pelancongan kini semakin beralih daripada sekadar mengunjungi destinasi popular kepada pengalaman yang lebih autentik dalam menyelami kehidupan masyarakat tempatan.
Bahkan, pelancong moden hari ini turut gemar meneroka lorong-lorong tersembunyi dan menghayati budaya setempat dari dekat.
Ia terbukti apabila kajian terkini mendapati 72 peratus pelancong lebih gemar berbelanja untuk menikmati aktiviti tempatan berbanding sekadar melakukan aktiviti bersiar-siar secara tradisional yang lebih sinonim dengan panggilan living like a local atau menjalani kehidupan seperti penduduk tempatan.
Kecenderungan ini jelas dalam kalangan generasi Milenial dan Gen Z yang lebih mengutamakan pengalaman autentik, bermakna dan meninggalkan kenangan tersendiri.
Di Turkiye, budaya layanan mesra yang diwarisi turun-temurun membuka ruang kepada pelancong untuk mengenali kehidupan masyarakat setempat dengan lebih dekat.
Semangat ini dapat dirasai di Bodrum, destinasi peranginan popular di wilayah Mugla yang terletak di pesisir Laut Aegean.
Bermula sebagai sebuah perkampungan nelayan yang sederhana, Bodrum kini menjelma sebagai destinasi pelancongan eksklusif dengan deretan hotel mewah, kelab pantai berprestij dan restoran bertaraf antarabangsa, termasuk mendapat pengiktirafan Panduan MICHELIN..
Namun, di sebalik kemeriahan dan gaya hidup mewah, Bodrum menyimpan sisi yang lebih santai dan memikat.
Teluk tersembunyi, jalanan yang dihiasi rumah bercat putih, kedai butik kecil serta sajian tradisional menjadi antara tarikan yang membolehkan pengunjung menikmati bandar ini seperti penduduk tempatan.
Jika mahu mengenali Bodrum dengan cara yang berbeza, inilah beberapa pengalaman yang boleh dimasukkan dalam senarai percutian anda.

Nikmati keindahan Laut Aegean
Terletak berhampiran pertemuan Laut Aegean dan Mediterranean, Bodrum terkenal dengan air lautnya yang jernih, marina yang dipenuhi kapal layar dan kelab pantai yang menjadi tumpuan pelancong.
Kawasan seperti Gumbet, Bitez dan Turkbuku menawarkan suasana meriah, sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti pantai dan kehidupan malam.
Begitupun, jika lebih mendambakan suasana damai, apa kata singgah di perkampungan seperti Mazı, Kizilagaç dan Guvercinlik?
Ia menawarkan pengalaman pesisir pantai yang lebih tenang, jauh daripada kesibukan lokasi peranginan utama.
Bodrum juga mempunyai hubungan istimewa dengan tradisi Blue Voyage atau Pelayaran Biru, yang membolehkan pengunjung meneroka pesisir pantai menggunakan kapal kayu tradisional dikenali sebagai gulet.
Kapal ini terkenal dengan reka bentuk tersendiri, hasil pertukangan tempatan serta ruang yang selesa untuk menikmati perjalanan di laut.
Antara pengalaman yang boleh dicuba ialah belayar ke teluk Aspat, Kissebuku atau Karaada Poyraz.
Berlabuh di perairan yang jernih, berenang di tengah-tengah keindahan alam atau menikmati suasana laut mendamaikan memberikan peluang untuk melihat Bodrum daripada sudut berbeza.

Sisi jalanan penuh pesona
Bodrum turut memikat menerusi jalanan sempit yang sarat dengan karakter tempatan.
Rumah dipadankan cat berwarna putih bersih, bunga kertas menjalar menghiasi dinding, kafe-kafe kecil, kedai pastri tradisional dan butik unik mewujudkan suasana yang cukup menyenangkan untuk diterokai sambil berjalan kaki.
Luangkan masa menyusuri lorong-lorong ini tanpa terlalu terikat dengan jadual. Singgah di kafe untuk menikmati kopi Turki, mencuba manisan tempatan atau melihat-lihat barangan yang dijual di kedai kecil milik penduduk setempat.
Di sebalik setiap sudut, ada sahaja perkara menarik yang boleh ditemukan, sama ada seni bina tradisional, perniagaan keluarga diwarisi turun-temurun atau sekadar suasana kehidupan harian masyarakat Bodrum.
Bagi pencinta sejarah, Istana Bodrum yang dibina pada abad ke-15 antara lokasi yang tidak harus dilepaskan.
Mercu tanda terletak berhampiran pelabuhan tersebut, menempatkan Muzium Arkeologi Bawah Air Bodrum yang menyimpan pelbagai khazanah berkaitan sejarah pelayaran dan kehidupan maritim.
Menerusi inisiatif Muzium Malam Turkiye, muzium berkenaan dibuka sehingga pukul 10 malam sepanjang musim panas sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman lawatan yang berbeza selepas matahari terbenam.
Sementara itu, Teater Purba Bodrum menawarkan gambaran tentang peninggalan zaman silam, selain pemandangan bandar dan pesisir pantai dari kedudukannya yang lebih tinggi.
Jangan lupa singgah di tapak tinggalan Makam Halicarnassus, yang suatu ketika dahulu merupakan antara Tujuh Keajaiban Dunia Purba.
Walaupun yang tinggal kini hanyalah sebahagian daripada struktur asalnya, tapak ini tetap menjadi bukti kehebatan tamadun purba yang pernah berkembang di Bodrum.
Singgah di kincir angin bersejarah di puncak bukit untuk menikmati panorama Bodrum yang memukau, dengan pemandangan bandar dan pelabuhan terbentang luas di hadapan mata.
Di sini, masa seolah-olah bergerak perlahan, memberi ruang untuk pengunjung berhenti sejenak, menghirup ketenangan dan menghayati pesona kota pesisir ini dari sudut yang berbeza.

Jamu selera ala penduduk tempatan
Percutian ke Bodrum tidak sempurna tanpa menikmati sajian tempatan yang mencerminkan kekayaan cita rasa Aegean.
Walaupun bandar ini mempunyai restoran mewah yang menawarkan pengalaman gastronomi bertaraf antarabangsa, kedai makan kejiranan dan meyhane atau tempat makan tradisional Turki turut menjadi pilihan menarik untuk mengenali budaya makanan masyarakat setempat.
Hidangan makanan laut segar, meze atau pembuka selera Turki serta wain serantau antara sajian yang boleh dinikmati sambil meluangkan masa bersama teman atau keluarga.
Bagi yang ingin mencuba hidangan istimewa Bodrum, wajib menikmati çökertme kebabı.
Hidangan menggabungkan hirisan daging lembu yang lembut dengan kentang dipotong halus dan digoreng rangup dipadankan pula sos tomato serta yogurt berkrim.
Gabungan tekstur dan rasa yang kaya tersebut menjadikan hidanagn tradisional ini antara pengalaman gastronomi melengkapkan kunjungan ke Bodrum.
Untuk merasai pengalaman lebih autentik, cuba terokai restoran kecil yang menjadi pilihan penduduk tempatan.
Bertanyakan cadangan kepada pemilik kedai atau penduduk sekitar juga boleh membawa anda menemukan tempat makan yang mungkin tidak begitu menonjol dalam senarai pelancongan biasa.
Kadangkala, hidangan paling diingati bukanlah yang disajikan di restoran paling mewah, tetapi yang dinikmati dalam suasana sederhana dengan layanan mesra dan cerita di sebalik setiap sajian.

Produk handmade
Bodrum turut mempunyai sisi kreatif yang boleh diterokai menerusi bengkel artisan dan kedai milik pengusaha tempatan.
Di sini, pengunjung boleh menemukan sandal kulit buatan tangan, tekstil, barang kemas dan hiasan yang mendapat inspirasi daripada motif serta warna Laut Aegean.
Berbeza daripada cenderamata yang dihasilkan secara besar-besaran, barangan buatan tangan ini mempunyai keunikan tersendiri.
Setiap satu mencerminkan kemahiran, kreativiti dan tradisi pertukangan yang terus dipelihara oleh masyarakat tempatan.
Luangkan masa mengunjungi bengkel kecil, berbual dengan pengusaha atau melihat sendiri proses menghasilkan sesuatu barangan.
Pengalaman sebegini bukan sahaja memberikan pemahaman lebih mendalam tentang kreativiti tempatan, malah membuka peluang untuk menyokong perniagaan kecil yang menjadi sebahagian daripada identiti bandar ini.
Jika bercadang membawa pulang buah tangan, pilihlah sesuatu yang benar-benar mencerminkan pengalaman anda di Bodrum.
Selain menjadi kenangan percutian, barangan itu juga membawa cerita tentang tempat, budaya dan individu yang ditemui sepanjang perjalanan.
Kenali Bodrum lebih dekat
Menjelajah Bodrum seperti penduduk tempatan sebenarnya tidak memerlukan perancangan yang terlalu rumit. Ada kalanya, memadai dengan memperlahankan langkah, berani mencuba sesuatu yang baharu dan memberi ruang untuk pengalaman spontan menjadi sebahagian daripada perjalanan.
Dari teluk yang mendamaikan dan lorong bandar yang menawan hinggalah sajian tradisional serta hasil seni buatan tangan, Bodrum menawarkan lebih daripada sekadar destinasi peranginan mewah.
Di sinilah pengunjung berpeluang melihat bagaimana sejarah, budaya dan kehidupan moden berpadu dalam satu destinasi yang penuh pesona.







