
KOTA BHARU: Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini ditutup sementara sehingga 23 April 2028 bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan gerai dan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memaklumkan, penutupan yang bermula pada 24 Ogos lalu itu dijadualkan berlangsung selama 87 minggu.
Sehubungan itu, penjaja dan orang ramai diminta tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan atau memasuki kawasan projek sepanjang tempoh penutupan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, selain memastikan kerja pembinaan berjalan lancar.
Menurut kenyataan MPKB-BRI, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan mengikut perancangan.
“MPKB-BRI turut memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama orang ramai sepanjang tempoh penutupan itu,” menurut kenyataan berkenaan.





