
KUALA LUMPUR: Kekangan kewangan mendorong hampir satu daripada empat rakyat Malaysia berusia 25 hingga 44 tahun menangguhkan atau memutuskan untuk tidak berkahwin, mengadakan majlis perkahwinan atau menimang anak pertama dalam tempoh lima tahun lalu.
Dapatan Tinjauan Celik Kewangan Malaysia (RMFLS) 2026 oleh RinggitPlus menunjukkan sebanyak 24.3 peratus responden dalam kumpulan usia berkenaan berdepan situasi itu, dengan peratusan lebih tinggi dicatatkan dalam kalangan mereka yang berusia 25 hingga 34 tahun, iaitu 28.9 peratus.
Sebaliknya, peratusan bagi responden berusia 35 hingga 44 tahun adalah 19.1 peratus.
Dapatan itu memperlihatkan bagaimana kedudukan kewangan menjadi antara pertimbangan penting dalam membuat keputusan besar dalam kehidupan, khususnya berkaitan perkahwinan dan perancangan keluarga.
Mengikut kumpulan pendapatan peribadi, sebanyak 25.8 peratus responden berusia 25 hingga 44 tahun yang memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM4,999 sebulan mengakui faktor kewangan mempengaruhi keputusan berkenaan.
Ia diikuti responden berpendapatan RM5,000 dan ke atas, iaitu 23.1 peratus, manakala kumpulan berpendapatan kurang RM2,000 mencatatkan 22.8 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, tinjauan itu turut mendapati 63 peratus responden memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua, sekali gus menggambarkan tanggungjawab kewangan terhadap keluarga yang perlu ditanggung selain memenuhi keperluan sendiri.
Daripada jumlah itu, sebanyak 32 peratus memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua setiap bulan, manakala 30.9 peratus berbuat demikian secara sekali-sekala.
Bagi responden berpendapatan peribadi kurang RM2,000 sebulan, sebanyak 51.4 peratus memberikan wang kepada ibu bapa atau ibu bapa mentua, termasuk 18.5 peratus yang melakukannya setiap bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew, berkata dapatan tinjauan tahun ini menunjukkan hubungan rapat antara kedudukan kewangan, tanggungjawab keluarga dan perancangan masa depan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, jurang simpanan yang semakin melebar antara golongan berpendapatan peribadi kurang RM2,000 dengan kumpulan pendapatan lain turut perlu diberikan perhatian.
“Pendidikan kewangan perlu bersifat praktikal dan mudah diakses supaya rakyat Malaysia dapat menerapkan pengetahuan mereka dalam keputusan harian yang membantu mereka membuat persediaan dengan lebih baik,” katanya.
Tinjauan dalam talian itu membabitkan 3,005 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dan dijalankan dari 28 September hingga 11 Oktober lalu.







