
DI sebalik hamparan hijau dan suasana tenang Pengkalan Bujang, Kedah, tersimpan sebuah kisah besar yang pernah membentuk perjalanan sejarah rantau ini.
Batu-batu purba bukan sekadar tinggalan yang kaku, sebaliknya menjadi saksi kepada kewujudan sebuah peradaban yang suatu ketika dahulu berkembang pesat, menjalin hubungan perdagangan antarabangsa serta menerima pengaruh kebudayaan dan keagamaan dari luar.
Kompleks Arkeologi Pengkalan Bujang membawa pengunjung menelusuri kembali lembaran sejarah Lembah Bujang, sebuah kawasan yang diiktiraf sebagai antara pusat perkembangan tamadun awal yang penting di Asia Tenggara.
Terletak di daerah Kuala Muda, kompleks ini menjadi antara lokasi penting untuk memahami warisan arkeologi Kedah, khususnya peninggalan kerajaan dan masyarakat awal yang pernah menjadikan kawasan berkenaan sebagai pusat kegiatan ekonomi serta kebudayaan.

Apa yang menjadikan kawasan ini begitu istimewa ialah kewujudan tinggalan candi atau struktur keagamaan purba yang memperlihatkan pengaruh Hindu-Buddha dalam kehidupan masyarakat ketika itu.
Struktur binaan yang diperbuat daripada batu laterit dan bahan tempatan memberikan gambaran tentang kemahiran masyarakat silam dalam membangunkan seni bina keagamaan, selain memperlihatkan hubungan mereka dengan jaringan kebudayaan yang lebih luas.
Lebih menarik, kewujudan tinggalan arkeologi ini membuktikan bahawa kawasan Lembah Bujang bukanlah sebuah penempatan terpencil yang terpisah daripada dunia luar.
Sebaliknya, kedudukannya yang strategik berhampiran laluan perdagangan maritim menjadikan kawasan ini berpotensi sebagai persinggahan penting pedagang dari India, China dan kawasan lain di rantau Asia.
Perdagangan bukan sahaja membawa masuk barangan seperti seramik, manik dan barangan logam, malah turut membuka ruang kepada pertukaran idea, kepercayaan, teknologi serta kebudayaan.
Hubungan tersebut membantu membentuk identiti masyarakat tempatan yang menerima dan menyesuaikan pengaruh luar dengan persekitaran serta tradisi mereka sendiri.

Tiga candi tarikan pengunjung
Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Zon Utara, Ardi Asmera Saeman berkata, kompleks arkeologi seluas tiga hektar itu menempatkan tiga buah candi, masing-masing dua candi Hindu dan sebuah candi Buddha.
Menurutnya, keistimewaan kompleks berkenaan terletak pada kaedah pemuliharaan struktur candi yang membolehkan pengunjung melihat tinggalan binaan yang dibina semula di tapak asal, selain sebuah lagi struktur yang dikekalkan dalam keadaan asal tanpa dibina semula.
“Orang ramai berpeluang melihat sendiri dua buah candi yang dibina semula serta satu lagi candi yang dikekalkan pada tapak asal.
“Keadaan ini memberikan pengalaman tersendiri kepada pengunjung untuk melihat perbezaan antara struktur yang dibina semula dengan tinggalan arkeologi yang dikekalkan berdasarkan keadaan asalnya,” katanya.

Kompleks berkenaan telah diwartakan sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dan diuruskan secara rasmi oleh JWN.
Selain nilai sejarah dan arkeologi, suasana persekitaran yang dikelilingi kehijauan hutan turut memberikan keunikan tersendiri kepada kompleks berkenaan.
Katanya, kawasan itu dihiasi pokok-pokok hutan yang sebahagian besarnya terdiri daripada spesies meranti temak, sekali gus mewujudkan suasana semula jadi yang jarang ditemukan di lokasi pelancongan berasaskan warisan arkeologi.
Lebih menarik, beliau menambah, pengunjung turut berpeluang menikmati panorama Gunung Jerai yang jelas kelihatan dari kawasan kompleks berkenaan.
“Keindahan alam semula jadi termasuk bendang sawah yang mengelilingi kawasan ini, ditambah pula dengan pemandangan Gunung Jerai, memberikan satu pengalaman yang cukup menarik kepada pengunjung.
“Ini bukan sekadar destinasi untuk melihat tinggalan sejarah, tetapi juga lokasi untuk menikmati ketenangan dan keindahan alam,” katanya.

Program-program menarik
Dalam usaha memperkenalkan kompleks itu sebagai destinasi pelancongan warisan yang lebih dekat dengan masyarakat, JWN turut menawarkan beberapa program menarik, antaranya Santai Bendang yang dianjurkan pada setiap hujung bulan.
Ardi berkata, program berkenaan mendapat sambutan dan kerjasama amat baik daripada penduduk setempat, sekali gus mencerminkan potensi penglibatan komuniti dalam mempromosikan kawasan warisan.
Katanya, edisi seterusnya dijadualkan berlangsung pada 28 November ini dengan penglibatan beberapa agensi bagi memeriahkan program berkenaan.

Selain itu, aktiviti minum kopi pada sebelah petang turut dirancang sebagai pengisian santai untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
Menyentuh mengenai Tapak Arkeologi Sungai Batu, beliau berkata, tapak berkenaan ditutup mulai 4 November lalu bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf dilaksanakan.
Projek berkenaan dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan, dengan beberapa penambahbaikan dirancang bagi meningkatkan kemudahan serta pengalaman pelawat.
Menurutnya, pembangunan semula itu akan menyaksikan Tapak Arkeologi Sungai Batu dilengkapi kemudahan lebih menyeluruh termasuk kompleks, galeri, makmal dan kafe.
Usaha berkenaan diharap dapat menjadikan tapak arkeologi itu sebagai pusat warisan dan penyelidikan yang lebih komprehensif, selain menyediakan kemudahan lebih selesa kepada pelancong.
Jelasnya, pembangunan itu juga penting bagi memastikan khazanah arkeologi negara terus dipelihara dan dapat diketengahkan kepada masyarakat tempatan serta pelawat antarabangsa.







