
Jangan sangka tubuh sihat dan berat badan ideal bermakna hati bebas daripada penyakit. Seseorang boleh menghidap hati berlemak tanpa sebarang gejala, malah tidak menyedari organ penting itu mengalami kerosakan secara perlahan-lahan.
Penyakit hati berlemak yang tidak dikawal boleh mencetuskan keradangan, pembentukan parut pada hati, sirosis dan meningkatkan risiko kanser hati serta kegagalan hati.
Di Malaysia, sebanyak 28.2 peratus orang dewasa atau 6.7 juta individu dianggarkan mengalami penyakit hati berlemak berkaitan disfungsi metabolik (MASLD), berdasarkan kajian menggunakan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 2023.
Pakar Perunding Gastroenterologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Ganesalingam Kanagasabai berkata, penyakit hati berlemak sering tidak menunjukkan sebarang tanda pada peringkat awal dan hanya dikesan ketika pemeriksaan kesihatan rutin.
“Penyakit hati berlemak jarang menunjukkan gejala pada peringkat awal,” katanya kepada Ceritera.
Menurutnya, keadaan itu lazimnya dikenal pasti apabila ujian darah menunjukkan paras enzim hati tidak normal atau pemeriksaan pengimejan mengesan pengumpulan lemak berlebihan dalam organ berkenaan.

Malah, individu yang mempunyai berat badan normal juga tidak terkecuali daripada risiko penyakit itu, khususnya mereka yang mempunyai lebihan lemak di bahagian abdomen atau sekitar organ dalaman.
MASLD bukan hanya dikaitkan dengan berat badan berlebihan atau pengambilan alkohol, sebaliknya turut mempunyai kaitan dengan masalah metabolik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi.
LEMAK JADI MASALAH
Dr. Ganesalingam menjelaskan, pengumpulan lemak dalam hati tidak semestinya menyebabkan komplikasi serius kepada semua pesakit. Namun, keadaan itu boleh menjadi lebih berbahaya apabila mencetuskan keradangan yang dikenali sebagai metabolic dysfunction-associated steatohepatitis (MASH).
Jika tidak dikawal, keradangan berpanjangan boleh menyebabkan pembentukan parut pada hati atau fibrosis.
Keadaan itu boleh berkembang menjadi sirosis, sekali gus menjejaskan fungsi hati dan meningkatkan risiko kegagalan hati serta kanser hati.
“Sebahagian besar individu yang menghidap penyakit hati berlemak turut mengalami penyakit kardiovaskular dan kanser yang bukan berkaitan dengan hati,” katanya.
Justeru, pengesanan awal amat penting, terutama bagi individu yang mempunyai faktor risiko metabolik walaupun tidak mengalami sebarang gejala. Antara pemeriksaan yang boleh dilakukan ialah ujian darah dan pengimejan bagi menilai keadaan hati.

Doktor juga boleh menggunakan skor FIB-4 yang mengambil kira umur, kiraan platelet serta keputusan enzim hati untuk menganggarkan risiko pembentukan parut.
Jika memerlukan pemeriksaan lebih lanjut, kaedah Vibration-Controlled Transient Elastography (VCTE) boleh digunakan untuk mengukur tahap kekerasan hati bagi menilai fibrosis.
Pemeriksaan ultrabunyi abdomen juga boleh membantu mengesan pengumpulan lemak dalam hati, namun kaedah itu mungkin tidak dapat mengenal pasti kes yang masih berada pada peringkat ringan.
BOLEH PULIH JIKA BERTINDAK AWAL
Penyakit hati berlemak masih boleh diperbaiki, terutama jika dikesan sebelum berlaku pembentukan parut yang meluas.
Menurut Dr. Ganesalingam, penurunan berat badan antara lima hingga tujuh peratus boleh membantu mengurangkan lemak dan keradangan pada hati.
Malah, penurunan berat badan melebihi 10 peratus berpotensi memperbaiki keradangan serta pembentukan parut hati bagi sesetengah pesakit.
Selain mengawal berat badan, amalan senaman secara berkala, pemakanan seimbang serta pengurusan penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi juga memainkan peranan penting.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan produk suplemen detoks hati yang belum terbukti keberkesanannya.
Ini kerana produk berkenaan bukan sahaja mungkin tidak memberikan manfaat seperti didakwa, malah berpotensi menyebabkan kecederaan hati.
SIROSIS UNDANG KOMPLIKASI SERIUS
Apabila kerosakan hati semakin teruk, pesakit boleh mengalami sirosis yang menyebabkan organ berkenaan gagal menjalankan fungsinya dengan baik.
Antara komplikasi yang boleh berlaku termasuk pembengkakan abdomen akibat pengumpulan cecair, pendarahan dalaman, jaundis atau kekuningan pada kulit dan mata serta kekeliruan akibat gangguan fungsi hati.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan pesakit, malah boleh menyebabkan mereka berulang kali dimasukkan ke hospital dan memberi tekanan kepada ahli keluarga.
Sirosis juga merupakan antara faktor risiko utama kanser hati.

Bagi pesakit yang mengalami sirosis, hati berlemak dan mempunyai faktor risiko metabolik, doktor mungkin menyarankan pemeriksaan pemantauan setiap enam bulan menerusi ultrabunyi serta ujian darah alfa-fetoprotein (AFP).
Pengesanan kanser hati pada peringkat awal membolehkan pesakit mendapatkan rawatan lebih awal dan meningkatkan peluang memperoleh hasil rawatan yang lebih baik.
PEMINDAHAN HATI
Sementara itu, Pakar Perunding Bedah Am dan Hepatobiliari SJMC, Dr. R. Krishnan Raman berkata, pemindahan hati boleh dipertimbangkan bagi pesakit yang mengalami penyakit hati peringkat akhir atau kanser hati yang memenuhi kriteria tertentu.
Menurutnya, prosedur itu mungkin diperlukan apabila kerosakan hati menyebabkan komplikasi serius seperti pengumpulan cecair berulang dalam abdomen (asites), pendarahan, gangguan fungsi otak akibat penyakit hati (ensefalopati hepatik) atau jaundis yang semakin teruk.
“Pemindahan hati ialah prosedur kompleks yang memerlukan kemudahan khusus, lazimnya terdapat di hospital kuaternari, serta penyelarasan rapi antara pasukan pakar pelbagai disiplin.
“Pasukan berkenaan merangkumi pakar bedah, pakar gastroenterologi, pakar bius, pakar radiologi, pakar patologi, pasukan rawatan rapi dan profesional penjagaan kesihatan lain yang bekerjasama sepanjang perjalanan rawatan pesakit, bermula daripada penilaian sehingga proses pemulihan,” katanya.

Beliau menjelaskan, kelayakan seseorang pesakit untuk menjalani pemindahan hati perlu dinilai secara teliti berdasarkan keadaan kesihatan keseluruhan.
Bagi pesakit kanser hati, faktor seperti saiz dan bilangan ketumbuhan turut diambil kira sebelum prosedur berkenaan diputuskan.
Penilaian sama penting juga dilakukan terhadap penderma bagi memastikan keselamatan mereka terjamin dan jumlah tisu hati sihat yang mencukupi dapat diberikan kepada penerima.
JANGAN TUNGGU SEHINGGA HATI ROSAK
Dr. Ganesalingam berkata, penyakit hati berlemak tidak semestinya berakhir dengan sirosis atau kanser kerana komplikasi serius boleh dicegah melalui pengesanan awal dan kawalan faktor risiko.
Orang ramai disarankan mengamalkan pemakanan seimbang, bersenam secara berkala, mengelakkan merokok serta mengehadkan atau mengelakkan pengambilan alkohol, terutama bagi mereka yang sudah mempunyai masalah hati.
Individu yang menghidap diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi atau mempunyai berat badan berlebihan juga perlu berbincang dengan doktor mengenai keperluan menjalani pemeriksaan hati.





