
Sikap lelaki yang gemar memendam masalah kesihatan kerana mahu menjaga imej diri dan tidak mahu dilihat lemah sebenarnya boleh membawa padah, malah berisiko mengundang penyakit lebih serius jika rawatan ditangguhkan.
Lebih membimbangkan, masalah seperti disfungsi erektil atau gangguan kencing bukan sekadar berkaitan kesihatan intim, sebaliknya boleh menjadi petanda awal penyakit berbahaya termasuk serangan jantung, diabetes dan hipertensi.
Pakar Perunding Urologi Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Dr. Lee Boon Cheok berkata, masalah ereksi dalam kalangan lelaki boleh menjadi amaran awal kepada penyakit kardiovaskular berikutan gangguan aliran darah dalam tubuh.

“Keadaan jantung dan salur darah yang menyempit menyekat pengaliran darah ke arteri zakar, dan ini sering kelihatan bertahun-tahun sebelum berlakunya serangan jantung besar,” katanya.
Beliau berkongsi pandangan itu bersama Pakar Perunding Psikiatri SJMC, Dr. Mohamad Iqbal Mohaini sempena kempen Movember yang memberi penekanan terhadap kepentingan kesihatan lelaki.
Menurut Dr. Mohamad Iqbal, sikap lelaki yang enggan berkongsi masalah kesihatan, sama ada fizikal mahupun emosi, banyak dipengaruhi tanggapan masyarakat mengenai erti kelelakian.

Katanya, sejak kecil ramai lelaki dibesarkan dengan pemikiran bahawa mereka perlu menyelesaikan masalah sendiri, mengawal emosi dan tidak menunjukkan kelemahan kepada orang lain.
“Di Malaysia dan kebanyakan negara Asia, terdapat lapisan jangkaan tambahan terhadap golongan lelaki. Budaya masyarakat kita amat mementingkan institusi kekeluargaan, malah masalah secara tradisinya diselesaikan dalam lingkungan keluarga.
“Oleh itu, mendapatkan bantuan daripada pihak luar boleh dianggap seolah-olah mendedahkan masalah keluarga kepada orang lain.
“Ramai lelaki Asia juga menganggap perbincangan mengenai penyakit, sama ada fizikal atau emosi, sebagai tanda kelemahan diri. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih sukar untuk berkongsi masalah atau meluahkan perasaan,” katanya kepada Ceritera.
Selain itu, kebimbangan kehilangan air muka dan maruah diri turut menyebabkan sesetengah lelaki memilih untuk menyembunyikan masalah kesihatan, khususnya apabila membabitkan fungsi seksual dan sistem perkumuhan.
Masalah seperti disfungsi erektil dan gangguan membuang air kecil sering dianggap menjejaskan kelelakian, sekali gus membuatkan mereka malu untuk mendapatkan pemeriksaan doktor.
Hakikatnya, sikap berdiam diri itu bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah boleh memberi kesan kepada emosi, hubungan rumah tangga dan kehidupan seharian.
Lelaki yang mengalami masalah ereksi, misalnya, dilaporkan mempunyai kualiti hidup lebih rendah dan berkemungkinan mengambil lebih banyak cuti daripada pekerjaan. Pasangan mereka juga boleh mengalami tekanan serta ketidakpuasan dalam hubungan.
Malah, masalah berkaitan sistem perkumuhan air kencing turut mempunyai kaitan dengan kesihatan mental, khususnya kemurungan dan keresahan.
Dalam kes tertentu, lelaki yang mengalami gangguan kencing lebih serius juga berisiko mengalami kemurungan sehingga ada yang terlintas untuk mencederakan diri sendiri.
KENALI PERUBAHAN PADA TUBUH
Dr. Boon Cheok berkata, lelaki perlu lebih peka terhadap perubahan pada tubuh kerana beberapa penyakit boleh berkembang tanpa menunjukkan gejala ketara pada peringkat awal.
Antaranya hipertensi yang sering digelar pembunuh senyap kerana boleh berlaku tanpa tanda amaran jelas.
Menurutnya, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal dalam tempoh panjang boleh merosakkan salur darah halus di buah pinggang sehingga menyebabkan penyakit buah pinggang kronik.

“Selain disfungsi erektil, tekanan darah tinggi juga boleh merosakkan salur darah yang halus di dalam buah pinggang dari semasa ke semasa, yang seterusnya mengakibatkan penyakit buah pinggang kronik serta kebocoran protein ke dalam air kencing, iaitu keadaan yang boleh menyebabkan air kencing kelihatan berbuih.
“Oleh itu, adalah penting bagi kaum lelaki untuk sentiasa peka terhadap perubahan seperti ini semasa berada di tandas,” jelasnya.
Selain itu, lelaki khususnya golongan muda juga perlu mengambil perhatian terhadap risiko kanser testis.
Beliau menyarankan pemeriksaan kendiri dilakukan secara berkala, sebaik-baiknya selepas mandi air suam ketika kulit skrotum lebih relaks.
Pemeriksaan itu bertujuan mengesan sebarang perubahan luar biasa seperti ketulan, bengkak, pengerasan atau rasa berat pada bahagian testis.
Katanya, sebarang perubahan yang mencurigakan perlu mendapatkan pemeriksaan doktor walaupun tidak disertai rasa sakit.
JANGAN MALU DAPATKAN BANTUAN
Sementara itu, Dr. Mohamad Iqbal berkata, usaha mengubah sikap lelaki terhadap kesihatan perlu bermula dengan membina komunikasi yang lebih terbuka bersama individu dipercayai.
Katanya, lelaki tidak perlu terus menceritakan masalah emosi secara mendalam, sebaliknya boleh memulakan perbualan melalui perkara mudah berkaitan perubahan fizikal yang dialami.
“Mulakan dengan cara yang mudah. Pilih individu yang paling anda percayai dan cari waktu yang santai, bukannya ketika sedang berlaku pertengkaran.
“Seseorang lebih mudah berkongsi masalah dengan individu yang rapat dan dijangka akan melayan mereka dengan penuh kebaikan. Perasaan selamat inilah yang membolehkan perbualan mendalam berlaku.
“Mulakan perbualan dengan perkara berkaitan fizikal, bukannya terus menyentuh soal perasaan. Sebagai contoh, ayat ‘Saya sudah beberapa kali terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil’ lebih mudah dijadikan pembuka bicara berbanding ‘Saya sedang menghadapi kesukaran’,” katanya.

Dr. Boon Cheok pula mengingatkan lelaki supaya tidak mengabaikan pemeriksaan kesihatan berkala kerana pengesanan awal mampu meningkatkan peluang mendapatkan rawatan sewajarnya.
Beliau berkata, sebanyak 60 peratus kes kanser prostat di Malaysia dikesan pada Tahap 3 atau 4, sekali gus menunjukkan masih ramai pesakit mendapatkan rawatan ketika penyakit sudah berada pada peringkat lanjut.
“Pengesanan awal memberikan pesakit peluang yang lebih baik untuk mendapatkan intervensi perubatan tepat pada masanya,” katanya.
Bagi meningkatkan akses kepada pemeriksaan kesihatan, golongan berpendapatan rendah (B40) yang memenuhi syarat kelayakan juga boleh memanfaatkan inisiatif PeKa B40 yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan.
Program itu menyediakan pemeriksaan kesihatan bagi membantu mengesan penyakit tidak berjangkit lebih awal, termasuk penilaian kesihatan mental dan pemeriksaan klinikal prostat bagi lelaki yang dikenal pasti berisiko.
Justeru, lelaki tidak seharusnya menganggap mendapatkan bantuan perubatan sebagai tanda kelemahan, sebaliknya langkah bertanggungjawab untuk melindungi diri dan keluarga.





