
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berasingan membabitkan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua dan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berhubung dua isu berasingan yang tular di media sosial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata siasatan terhadap Tony membabitkan hantaran Facebook yang mengandungi maklumat penyahklasifikasi dokumen pengampunan Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, sebanyak 55 laporan berhubung hantaran berkenaan diterima dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, bagi siasatan membabitkan Ahli Parlimen Kota Melaka pula, ia berkaitan hantaran Facebook mengenai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Menurutnya, kedua-dua kes dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Polis telah menerima sebanyak 55 laporan berhubung hantaran Facebook Tony Pua, manakala dua laporan polis diterima berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka.
“Kes berkenaan masih dalam peringkat siasatan dan orang ramai diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“Pada masa sama, PDRM memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak menyentuh atau membangkitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keamanan serta keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam.





