
SUBANG JAYA: Selepas hampir dua dekad menjadi antara model sedan pilihan keluarga Malaysia, Proton Persona kini menamatkan perjalanan pengeluarannya dengan penyerahan unit terakhir kepada pelanggan menerusi satu majlis khas di pusat pengedar 4S Atiara Johan, Puchong.
Majlis berkenaan bukan sekadar menandakan berakhirnya sebuah model dalam rangkaian produk PROTON, malah menjadi penghargaan terhadap sumbangan Persona yang mencatatkan jualan terkumpul sebanyak 473,346 unit di pasaran domestik dan eksport sejak diperkenalkan pada 2007.
Sepanjang 19 tahun berada di pasaran, Persona berjaya membina reputasi sebagai sedan segmen B yang menawarkan gabungan praktikaliti, keselesaan dan harga mampu milik sekali gus memenuhi keperluan pelbagai generasi pengguna.
Bagi sebahagian besar pemilik kenderaan sedan itu, Persona menjadi pilihan apabila mereka memerlukan kenderaan lebih luas dan selesa, khususnya selepas berkeluarga atau apabila keperluan perjalanan harian semakin meningkat.
Ruang kabin dan bagasi yang praktikal, keselesaan penumpang serta ciri tunggangan dan pengendalian yang menjadi kelebihan PROTON menjadikan model itu sesuai untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
Diperkenalkan pada 15 Ogos 2007, Persona generasi pertama dibangunkan menggunakan platform Proton GEN 2 dengan reka bentuk badan serta susun atur ruang yang disesuaikan untuk memenuhi kehendak pembeli sedan.
Model berkenaan pantas menjadi antara penyumbang penting kepada jualan PROTON, malah berjaya mengatasi prestasi jualan model asal yang menjadi asas pembangunannya.

Pada 23 Ogos 2016, generasi kedua Persona diperkenalkan berasaskan platform Proton Iriz dengan penambahbaikan dari segi keselamatan, kehalusan pemanduan dan praktikaliti.
Model itu kemudiannya menerima beberapa kemas kini pada 2019 dan 2021 bagi memastikan ia terus memenuhi perubahan kehendak serta jangkaan pelanggan.
Pengarah Jualan Proton Edar, Ong Chee Wooi berkata, Persona berjaya mendapat tempat dalam kalangan keluarga Malaysia kerana memenuhi keperluan pengguna terhadap sebuah sedan yang praktikal dan mampu dimiliki.
“Persona menawarkan ruang untuk keluarga, keselesaan bagi perjalanan jauh dan keyakinan pemanduan yang sinonim dengan kereta Proton.
“Hari ini, kami menghargai para pelanggan yang meletakkan kepercayaan terhadap Persona serta semua pihak yang menyumbang kepada kejayaannya,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kepentingan model itu turut terserlah menerusi peluang yang diberikan kepada rakyat Malaysia untuk memiliki kenderaan yang memenuhi keperluan, menyokong mata pencarian dan menjadi sebahagian daripada perjalanan kehidupan keluarga.

Sementara itu, Chee Wooi menambah, peranan Persona dalam rangkaian sedan PROTON kini diteruskan menerusi Proton S70 1.5 i-GT yang ditawarkan dalam dua varian iaitu Lite dan Prime.
Katanya, model berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter i-GT aspirasi semula jadi yang dipadankan dengan transmisi CVT bersama penukar tork bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih lancar.
“S70 turut menawarkan ruang kabin lebih luas, lantai belakang hampir rata serta pelbagai kelengkapan moden bagi meningkatkan keselesaan penumpang.
“Kedua-dua varian dilengkapi enam beg udara, kamera undur, peringatan tempat duduk belakang, sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto serta brek parkir elektrik dengan fungsi Auto Brake Hold,” ujarnya.
Beliau memberitahu, harga atas jalan tanpa insurans bagi Proton S70 1.5 i-GT Lite bermula RM56,800, manakala varian Prime ditawarkan pada harga RM59,800 selepas mengambil kira rebat pembelian awal RM3,000, tertakluk kepada terma dan syarat.
Katanya, S70 1.5 i-GT membolehkan PROTON menawarkan lebih banyak manfaat kepada pelanggan menerusi sedan yang lebih luas, selesa dan dilengkapi teknologi moden.
Berakhirnya perjalanan Persona menutup satu bab penting dalam sejarah automotif tempatan, namun legasi model itu kekal melalui ratusan ribu pemilik yang pernah menjadikannya teman perjalanan, kenderaan keluarga dan sebahagian daripada kehidupan mereka.







