
TOKYO: Honda Motor Co., Ltd. memperkenalkan SUV tiga baris tempat duduk, Avancier serba baharu yang menjadi model pertama menggunakan logo H baharu serta dilengkapi sistem hibrid generasi terkini Honda Hybrid.
Pelancaran secara dalam talian pada 20 November lalu itu turut memperlihatkan reka bentuk luaran dan dalaman model berkenaan yang dibangunkan berteraskan konsep Grand-Journey, dengan penekanan terhadap keselesaan, kemewahan dan pengalaman perjalanan jarak jauh.
Avancier baharu menampilkan reka bentuk luaran sporty dan futuristik, termasuk lampu hadapan nipis, gril besar serta pemegang pintu tersembunyi.
Ruang kabinnya pula menawarkan susun atur tiga baris tempat duduk, bumbung panoramik dan sistem audio premium BOSE 12 pembesar suara yang menyokong Dolby Atmos.

Dari aspek teknologi, model itu menggunakan sistem Honda Hybrid dua motor generasi baharu yang menggabungkan kecekapan penggunaan bahan api dengan prestasi pemanduan lebih responsif.
Ia turut dilengkapi sistem pacuan semua roda elektrik DualPower eAWD, teknologi kawalan gerakan Motion Management System serta Honda S+ Shift bagi meningkatkan kestabilan dan pengalaman pemanduan.
Selain itu, Avancier baharu menyokong kemas kini perisian secara dalam talian (OTA), selain ciri MyCabin yang merangkumi fungsi pemantauan kabin dan persekitaran kenderaan menerusi telefon pintar.
Honda merancang memperkenalkan model itu di beberapa pasaran Asia termasuk Thailand, Jepun dan China.
Pelancaran Avancier menjadi sebahagian daripada strategi Honda memperkukuh perniagaan kenderaan hibrid global dengan menyasarkan pengenalan 15 model hibrid generasi baharu menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Mac 2030.







