
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik pembentukan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dengan harapan perubahan itu menjadi titik permulaan kepada usaha memulihkan kestabilan organisasi dan mengembalikan keyakinan warga bola sepak negeri berkenaan.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Presiden KAFA yang baharu, Datuk Seri Rosmadi Ismail bersama barisan kepimpinannya perlu menggalas amanah diberikan dengan penuh integriti, selain memperkukuh tadbir urus dan pentadbiran persatuan.
Beliau berkata, Kongres Luar Biasa KAFA 2026 yang berlangsung hari ini menjadi permulaan kepada lembaran baharu persatuan itu, sekali gus membuka ruang untuk semua pihak kembali bersatu demi masa depan bola sepak Kelantan.
“Pemilihan ini sebagai permulaan kepada lembaran baharu buat KAFA untuk membina semula kestabilan organisasi, memperkukuh tadbir urus dan mengembalikan keyakinan seluruh warga bola sepak Kelantan.
“Apa yang penting sekarang adalah semua pihak perlu bersatu, mengetepikan sebarang perbezaan dan memberikan sokongan kepada kepimpinan yang telah dipilih,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Luar Biasa KAFA 2026 yang dipengerusikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, selepas menerima mandat daripada perwakilan ahli gabungan KAFA.

Dalam pada itu, Ab Ghani berharap kepimpinan baharu KAFA dapat meneruskan kerjasama dengan kepimpinan terdahulu serta seluruh ahli gabungan bagi memastikan pengalaman dan usaha pembangunan yang dilaksanakan sebelum ini tidak terhenti begitu sahaja.
Menurutnya, aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan hubungan dengan ahli gabungan perlu diberikan perhatian serius, selain mempergiat pembangunan bola sepak secara menyeluruh.
Beliau menambah, keutamaan juga perlu diberikan kepada pembangunan akar umbi, pencarian bakat muda serta bola sepak wanita bagi memastikan Kelantan terus melahirkan pemain berkualiti.
“FAM komited memberikan sokongan dan bimbingan sewajarnya kepada KAFA dalam memperkukuh pentadbiran serta membangunkan potensi bola sepak negeri itu.
“Bahkan, FAM sedia membantu mengaktifkan semula Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata, FAM sentiasa melihat KAFA sebagai antara persatuan negeri yang mempunyai peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara.
“Komitmen FAM bukan hanya tertumpu kepada KAFA, malah selepas ini kami sedia membantu untuk mengaktifkan semula Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) demi bola sepak di Perlis,” katanya.







