
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Ia sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh prestasi skuad negara di pentas antarabangsa.
Pelantikan jurulatih kelahiran Zagreb, Croatia, berusia 55 tahun itu dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau dalam arena bola sepak, khususnya di Asia Tenggara, selain rekod kejayaan bersama beberapa kelab dan pasukan kebangsaan.
Hodak bukan asing dalam kancah bola sepak tempatan apabila pernah membimbing beberapa kelab utama negara termasuk UPB-MyTeam, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC.
Beliau juga pernah mengendalikan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) dari 2017 hingga 2019.
Antara pencapaian paling menonjol Hodak di Malaysia ialah kejayaannya membimbing Kelantan meraih tiga kejuaraan utama pada 2012, termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Beliau kemudian membantu JDT menjulang kejuaraan Liga Super 2014 sebelum mencipta sejarah bersama Kuala Lumpur City FC apabila muncul juara Piala Malaysia 2021 dan naib juara Piala AFC 2022.
Di peringkat antarabangsa, Hodak turut membuktikan kemampuan apabila membimbing skuad Malaysia B-19 menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2018 di Surabaya, Indonesia.
Pengalaman kejurulatihannya turut merangkumi kelab Phnom Penh Crown di Kemboja dan PSM Makassar di Indonesia.
Terbaharu, beliau mengemudi kelab gergasi Indonesia, Persib Bandung, dengan mencatat kejayaan meraih tiga kejuaraan liga sepanjang tempoh bersama kelab berkenaan.
Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata pelantikan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan dan rekod pencapaian yang membuktikan keupayaannya membimbing pasukan kebangsaan.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan penting dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, pelantikan Hodak menyusul selepas FAM mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim pada 25 Jun 2026 bagi menggantikan Peter Cklamovski yang kontraknya ditamatkan melalui persetujuan bersama, berkuat kuasa 16 Jun lalu.
FAM turut merakamkan penghargaan kepada Tan atas kesediaan menerima tanggungjawab berkenaan serta komitmen dan khidmat yang dicurahkan sepanjang mengendalikan Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Tan akan terus berkhidmat bersama badan induk bola sepak negara itu dengan menggalas tanggungjawab baharu sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.
Dalam kapasiti berkenaan, beliau akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran dimiliki bagi membantu memperkukuh pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.
FAM berharap kesinambungan khidmat Tan dapat memberikan manfaat kepada pembangunan bola sepak negara, manakala kehadiran Hodak dijangka membawa pendekatan dan dimensi baharu dalam usaha meningkatkan daya saing Harimau Malaya.







