
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Jepun, Hiroyuki Sanada, dilaporkan berada pada peringkat rundingan akhir untuk membintangi filem adaptasi live-action Naruto.
Difahamkan Sanada bakal membawa watak Hiruzen Sarutobi, Hokage Ketiga dari Kampung Konoha dalam filem Naruto berkenaan yang akanmendapat sentuhan Destin Daniel Cretton.
Perkembangan terbaharu itu dilaporkan oleh portal hiburan antarabangsa, Deadline, yang menyebut pelakon berusia 65 tahun itu berpotensi menyertai barisan pelakon filem berkenaan sekiranya rundingan bersama Cretton dan studio Lionsgate mencapai persetujuan akhir.
Sanada dikenali menerusi lakonan dalam filem Mortal Kombat serta siri popular Shōgun dijangka menghidupkan karakter Hiruzen Sarutobi, pemimpin Kampung Daun Tersembunyi (Hidden Leaf Village) yang juga antara watak penting dalam dunia Naruto.
Dalam perkembangan sama, pelakon Charles Melton yang sebelum ini dikaitkan dengan watak Kakashi Hatake turut dilaporkan masih dalam rundingan untuk menyertai projek berkenaan.
Pada Ogos lalu, Melton dilaporkan berada pada peringkat rundingan akhir bagi membawa watak guru kepada Naruto, Sasuke dan Sakura itu.
Filem live-action Naruto merupakan kerjasama antara Sony Pictures dan Lionsgate, dengan penggambaran dijangka bermula pada musim bunga 2027.
Menerusi kerjasama itu, Lionsgate akan mengendalikan aspek penerbitan serta pengedaran domestik, manakala Sony Pictures bertanggungjawab terhadap pengedaran antarabangsa.
Lionsgate dalam kenyataannya turut menyifatkan Sony sebagai rakan strategik yang sesuai untuk projek berkenaan, mengambil kira pengalaman syarikat itu dalam industri anime dan manga, termasuk pemilikan platform penstriman anime Crunchyroll.
Adaptasi live-action Naruto menjadi antara projek yang mendapat perhatian peminat manga dan anime khususnya dalam melihat bagaimana karakter, dunia ninja dan garapan jalan cerita asal diterjemahkan ke layar perak menerusi lakonan sebenar.
Naruto merupakan karya terkenal, Masashi Kishimoto yang diterbitkan secara rasmi dalam majalah Weekly Shonen Jump pada 1999.
Kisah seorang ninja muda, Naruto Uzumaki, yang bercita-cita menjadi Hokage, pemimpin tertinggi kampungnya menjadi fenomena antarabangsa malah terjual lebih 250 juta naskhah di seluruh dunia.







