
KUALA LUMPUR: Selepas 11 hari bertarung mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), pelawak Amir Raja Lawak menunjukkan perkembangan positif apabila kini dipindahkan ke wad biasa.
Namun, Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi masih dalam keadaan lemah dan memerlukan bantuan oksigen untuk membantu pernafasannya.
Pembantunya, Muhammad Faris berkata, Amir masih belum mampu berinteraksi seperti biasa dan memerlukan rehat secukupnya bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Menurutnya, keadaan pelawak itu bagaimanapun semakin baik berbanding hari sebelumnya, malah sudah menunjukkan selera makan yang semakin meningkat.
“Alhamdulillah, Amir makan berselera hari ini dan lebih kuat sedikit berbanding semalam.
“Amir ada menyambut panggilan telefon, tetapi tidak larat untuk menjawab. Dia minta maaf. Dia sudah ditukarkan ke wad biasa.
“Keadaannya masih belum boleh berinteraksi dengan baik. Dia perlu banyak berehat kerana badan masih lemah.
“Setakat ini, dengan keluarga terdekat pun dia tidak banyak bercakap lagi. Dia juga masih menggunakan bantuan oksigen,” katanya seperti yang dilapor Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan pelawak itu mengalami masalah kesihatan berkaitan paru-paru sebelum keadaannya menjadi serius.
Dalam pada itu, Faris turut menyampaikan penghargaan Amir kepada semua pihak, termasuk rakan media dan peminat yang tidak putus-putus mengambil berat serta mendoakan kesihatannya.
Katanya, Amir amat menghargai setiap usaha mereka yang cuba menghubunginya sepanjang tempoh menerima rawatan.
Terdahulu, adik Amir memaklumkan pelawak itu masih dirawat di ICU selepas 11 hari berada di unit berkenaan.
Perkembangan mengenai keadaan kesihatannya itu turut dikongsikan menerusi hantaran Facebook yang memaklumkan Amir masih berehat bagi memulihkan kesihatannya.







