
IPOH: Kematian seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Kangsar, semalam, disahkan berpunca daripada jerutan di leher berdasarkan hasil bedah siasat.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pemeriksaan forensik turut menemukan kesan jerutan pada leher mangsa.
Menurutnya, polis juga sudah meneliti tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diserahkan pihak sekolah dan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau buli.
“Berdasarkan rakaman itu, tiada sebarang unsur jenayah atau buli dikesan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata, polis sudah merakam keterangan 11 individu terdiri daripada enam pelajar dan lima guru bagi membantu siasatan.
Namun, katanya, pihak polis masih mengambil keterangan rakan-rakan mangsa bagi mengenal pasti tingkah laku serta keadaan pelajar berkenaan sebelum kejadian.
Menurutnya, mangsa ditempatkan di bilik sakit sekolah berkenaan sejak Isnin lalu, termasuk pada hari dia ditemukan meninggal dunia.
“Bilik itu dikhaskan untuk pelajar yang tidak sihat atau perlu dibawa ke hospital.
“CCTV turut dipasang di bilik berkenaan bagi memantau keadaan pelajar yang kurang sihat,” katanya.
Mohd Alwi berkata, berdasarkan rakaman CCTV, mangsa dipercayai meninggal dunia pukul 10.35 pagi sebelum ditemukan sekitar pukul 2.45 petang oleh seorang pelajar lain yang pergi menggunakan tandas.
Katanya, tiada kecederaan lain ditemukan pada tubuh mangsa.
Beliau berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan tidak disiasat mengikut mana-mana kesalahan jenayah tertentu.
Proses bedah siasat di Jabatan Forensik, Hospital Taiping selesai pukul 1 tengah hari tadi.
Jenazah mangsa kemudian dibawa pulang ke Juasseh, Negeri Sembilan, pukul 3.30 petang.






