
GOMBAK: Lelaki warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan seorang anggota polis di Desa Aman Puri, Kepong, petang semalam, dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan teman wanitanya.
Seorang penduduk, Mohd Aidil Roslan, berkata suspek yang menetap di Pangsapuri Aman Dua sejak lebih setahun lalu itu sering membuat bising, menjerit dan bertengkar dengan rakan serumah sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, keadaan suspek semakin membimbangkan sejak kira-kira dua minggu lalu apabila dia kerap didengar menjerit dan memarahi individu di dalam rumah.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kami sering dengar dia bergaduh dengan rakan serumah. Memang bising dan dia kerap menjerit sehingga kami tertanya-tanya apa yang berlaku,” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian ketika ditemui di pangsapuri berkenaan, hari ini.
Mohd Aidil berkata, suspek dipercayai mengalami kemurungan selepas teman wanitanya yang tinggal di blok bersebelahan berpindah keluar bersama lelaki lain lebih sebulan lalu.
Katanya, kejadian petang semalam berlaku apabila polis bersama anggota bomba dan penduduk terpaksa memecahkan pintu rumah suspek selepas lelaki itu enggan memberikan kerjasama.
Suspek kemudian mengamuk dan dilihat memegang dua bilah parang sebelum melibas ke arah anggota polis.
“Keadaan semakin mencemaskan apabila lelaki itu mengejar sesiapa sahaja yang berada di luar rumah, termasuk penghuni apartmen.
“Saya segera masuk ke rumah dan mengunci pintu kerana bimbang turut menjadi sasaran,” katanya.
Beliau turut mendakwa melihat seorang wanita keluar dari unit kediaman suspek dalam keadaan berlumuran darah sebelum lelaki itu dilihat bersendirian di dalam rumah.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 58, berkata suspek sebelum ini seorang yang peramah dan sering menegur jiran ketika berselisih.
Bagaimanapun, katanya, perubahan sikap lelaki itu mula ketara kira-kira sebulan lalu, dipercayai selepas hubungan percintaannya berakhir.
Menurutnya, beberapa rakan suspek pernah datang ke pangsapuri berkenaan untuk mendapatkan bantuan kerana bimbang dengan keadaan emosinya, malah turut menghubungi polis bagi menangani situasi itu.
Tan berkata, suspek kemudian menyerang anggota polis menggunakan parang sebelum kembali ke rumah untuk menukar pakaian, kemudian turun semula dan menyerang anggota lain serta merosakkan sebuah kereta polis.
Suspek akhirnya keluar dari kawasan pangsapuri menuju ke sebuah kedai runcit berhampiran sebelum ditembak mati.
Dalam pada itu, Tan meminta orang ramai tidak membuat tanggapan negatif terhadap keseluruhan komuniti warga asing yang menetap di pangsapuri berkenaan hanya disebabkan tindakan seorang individu.
Katanya, warga Afrika di kawasan itu dianggarkan hanya kira-kira lima peratus daripada keseluruhan penduduk dan secara umumnya hidup aman bersama masyarakat tempatan.







