nubhan-dr fie
SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima laporan penyanyi, Ahmad Nubhan Ahamad atau lebih dikenali sebagai Nubhan, berhubung dakwaan kehadiran pengutip hutang yang mencari bekas isterinya, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, pada 23 Oktober lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata laporan berkenaan dibuat di Balai Polis Paroi dan diklasifikasikan sebagai cover report tanpa pembukaan kertas siasatan setakat ini.
Bagaimanapun, katanya, polis masih memantau perkembangan perkara berkenaan.
“Laporan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai cover report dan setakat ini tiada kertas siasatan dibuka. Namun, kita memantau perkembangan kes ini.
“Saya juga tidak mahu mengulas lanjut kerana ia membabitkan hal peribadi dan sulit,” katanya hari ini seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Sebelum ini, Nubhan berkongsi salinan laporan polis berkenaan menerusi Facebook pada malam Rabu, mendakwa pengutip hutang yang hadir ke rumahnya memaklumkan bekas isterinya mempunyai hutang dalam jumlah besar.
Nubhan berkata, laporan itu dibuat kerana bimbang keselamatan anak-anaknya yang kini berada di bawah jagaan bekas isterinya.
Menurut laporan polis berkenaan, dia tidak mahu anak-anaknya diganggu atau mengalami ketakutan dan trauma akibat kehadiran pihak pengutip hutang.
Dia turut menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya keselamatan dirinya, anak-anak dan keluarga terancam.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk persoalan mengenai masa pendedahan itu dibuat ketika suami baharu Dr Fie, Kapten Amrul Nizar Anuar, turut dikaitkan dengan kontroversi dakwaan mengabaikan penjagaan anak dan pembayaran nafkah.
Dr Fie dan Amrul Nizar, yang juga seorang duda, mendirikan rumah tangga pada 1 November lalu.
Sebelum itu, Dr Fie dan Nubhan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Disember 2025 selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.







