
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), hari ini.
Speaker MPR, Ahmad Muzani, berkata surat berkenaan diserahkan sendiri oleh Gibran dalam pertemuan kira-kira 20 minit di bangunan Nusantara III, kompleks Parlimen di sini.
Menurutnya, Gibran turut memaklumkan surat peletakan jawatan sama sudah diserahkan kepada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Beliau menjelaskan tujuan pertemuan itu adalah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Republik Indonesia,” katanya seperti dilaporkan media Indonesia.
Ahmad Muzani berkata, Gibran turut meminta supaya proses peletakan jawatannya disegerakan, manakala pucuk pimpinan MPR akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tindakan susulan.
Katanya, MPR mempunyai tempoh maksimum 60 hari selepas peletakan jawatan itu bagi memilih naib presiden baharu.
Sementara itu, Prabowo mempunyai tempoh 14 hari selepas MPR mengemukakan permintaan rasmi untuk mencadangkan dua calon bagi mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Penyerahan surat itu menyusuli pertemuan Gibran dengan Prabowo di Istana Presiden, Selasa lalu, bagi menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan susulan perkembangan undang-undang berkaitan dokumen pendidikannya.
Setiausaha Negara Indonesia, Prasetyo Hadi, berkata pertemuan yang berlangsung kira-kira dua jam setengah itu menyaksikan Prabowo tidak menolak hasrat Gibran berkenaan.
Gibran turut mengadakan pertemuan sekali lagi dengan Prabowo di Istana Presiden pagi tadi sebelum menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada MPR.
Sebelum ini, Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 6 Oktober lalu memutuskan petisyen yang mencabar kelayakan Gibran memegang jawatan itu tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, Mahkamah Agung pada 30 Oktober lalu mengisytiharkan sijil penyetaraan pendidikan sekolah menengah atas milik Gibran tidak sah, menurut laporan agensi berita Antara.






