
BANGI: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, perlu mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekiranya mahu mencadangkan pelaksanaan tahanan rumah diperluaskan kepada semua banduan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata cadangan berkenaan pernah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dengan KDN sedang meneliti pendekatan itu sebagai mekanisme baharu.
Menurutnya, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, perlu mendapatkan penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berhubung perkara berkenaan.
“Saya dimaklumkan isu itu pernah dibincangkan dalam Kabinet dan KDN mahu melihat tahanan rumah sebagai satu pendekatan baharu.
“Jadi, mungkin beliau perlu memaklumkan perkara itu kepada Saifuddin kerana saya tidak bertanggungjawab dalam isu berkenaan.
“Saya hanya menjaga hal berkaitan undang-undang, manakala Peguam Negara memberi nasihat kepada kerajaan dan Ketua Hakim Negara pula mengendalikan urusan mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Kursus Pensijilan Profesional Pengantaraan dan Sijil Lantikan Pengantara serta Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi Madani Jabatan Bantuan Guaman Tahun 2026 di Dewan Auditorium Akademi Perundangan Negara, di sini, hari ini.
Semalam, Mat Sabu mencadangkan supaya semua banduan diberi peluang menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala baki hukuman dilaksanakan menerusi tahanan di rumah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, cadangan itu berasaskan mekanisme perundangan yang adil, telus dan dilaksanakan secara sama rata tanpa mengira kedudukan atau latar belakang seseorang banduan.
Katanya, usaha memperjuangkan cadangan itu perlu digerakkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan semua banduan menerima layanan saksama tanpa mengira pangkat, pengaruh politik atau kedudukan.
Presiden Amanah itu turut menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membiayai usaha NGO yang bersedia menyahut saranan berkenaan.




