
AYER MOLEK: Tiada keperluan untuk mana-mana menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menegaskan, perbezaan haluan politik di peringkat negeri, termasuk di Melaka, tidak bermakna BN menarik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Persekutuan.
“Kalau beliau (Gobind Singh) rasa apa yang dinyatakan itu patut dibuat (desakan letak jawatan), buatlah sebagaimana yang dilakukan Setiausaha Agung partinya (Anthony Loke).
“Jangan pula apabila sudah letak jawatan, jadi seperti orang gila talak. Kita tidak mahu jadi gila talak macam mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka di Tambak Paya, Ayer Molek, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Gobind yang mencabarnya meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan mempunyai hak menentukan haluan masing-masing, khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri.
Katanya, sokongan BN terhadap kepimpinan Anwar di peringkat Persekutuan kekal utuh dan dibuktikan menerusi pendirian menteri parti itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Ketika dalam mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah sekali pun menteri BN tidak bersetuju dengan dasar Kerajaan Perpaduan atau berbeza pendapat dengan Perdana Menteri.
“Ini semua menteri menyaksikan,” katanya.
Pada 10 November lalu, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan berkata tiada keperluan untuk melakukan rombakan Kabinet, sebaliknya berpandangan pembubaran Parlimen lebih wajar bagi memberi laluan kepada rakyat menentukan mandat baharu.





