
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan dan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung tindakan mereka mengkritik Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
Rayer mendakwa, kedua-dua individu itu membuat tuduhan berunsur hasutan dengan mendakwa Peguam Negara ingkar terhadap titah pengampunan Yang di-Pertuan Agong membabitkan bekas Perdana Menteri berkenaan.
Beliau turut menggesa polis dan Jabatan Peguam Negara membuka kertas siasatan terhadap kedua-duanya mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Gadek pagi tadi dengan ditemani Senator, Dr. R. A. Lingeshwaran.
“Saya membuat laporan polis ini terhadap semua individu yang membuat laporan polis ke atas Peguam Negara dan mendakwa beliau perlu dipecat, meletakkan jawatan atau bercuti.
“Saya ulangi, seorang timbalan menteri dalam Kerajaan Persekutuan iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, serta bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membuat pelbagai tuduhan berunsur hasutan dan membuat laporan polis terhadap Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Pada 7 November lalu, Ahmad Maslan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian membuat laporan polis di Balai Polis Benut berhubung kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap Najib.
Sementara itu, Khairy pada 8 November lalu menggesa Peguam Negara bercuti serta-merta sementara polis menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat terhadap beliau berkaitan isu pengampunan bersyarat Najib.
Mengulas lanjut, Rayer berkata, perintah tahanan rumah baharu yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi semalam membuktikan Peguam Negara tidak menderhaka atau mengingkari titah diraja.
Katanya, Peguam Negara sebelum ini hanya memohon supaya perintah yang dikeluarkan mahkamah pada Jumaat lalu diperjelaskan dengan lebih lanjut melalui proses perundangan.
“Realitinya Peguam Negara hanya memohon perintah dikeluarkan oleh mahkamah pada Jumaat lalu diperjelaskan dengan lebih lanjut di mahkamah,” katanya.
Rayer turut memaklumkan sebanyak 190 laporan polis telah dibuat di seluruh negara terhadap Peguam Negara.
Beliau menyifatkan tindakan membuat laporan polis atas tujuan politik sebagai amalan tidak sihat, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan Peguam Negara yang juga pegawai kanan kerajaan.




