
GAZA: Lebih 200,000 penduduk di Semenanjung Gaza terjejas akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda wilayah itu pada hujung minggu lalu, sekali gus meningkatkan keperluan bantuan kemanusiaan.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memaklumkan, bencana itu menyebabkan kerosakan kepada lebih 40,000 tempat perlindungan keluarga, 900 tandas serta sembilan kemudahan kesihatan setakat semalam.
“Anggaran awal menunjukkan lebih 200,000 orang mungkin terjejas dan memerlukan bantuan kemanusiaan,” menurut kenyataan OCHA pada Selasa, lapor Sputnik/RIA Novosti.
PBB turut menganggarkan 950,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal kini menetap di kawasan berisiko banjir, dengan 400,000 daripadanya berada di zon berisiko amat tinggi.
Hampir separuh daripada penduduk yang berada di kawasan berisiko tinggi itu terdiri daripada kanak-kanak.
Dalam perkembangan berkaitan, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Isnin melaporkan hujan lebat di tengah Gaza menyebabkan sebuah bukit pasir runtuh lalu menghempap khemah, mengorbankan seorang wanita dan tiga kanak-kanak masing-masing berusia empat, lima dan lapan tahun.
Sementara itu, pekerja bantuan kemanusiaan mengenal pasti 245 tapak perlindungan sementara serta 23 laluan jalan raya yang memerlukan tindakan segera menggunakan jentera berat, khususnya di Bandaraya Gaza dan kawasan utara wilayah itu.
Agensi kemanusiaan turut memberi amaran bahawa lokasi untuk memindahkan penduduk amat terhad sekiranya kediaman mereka dinaiki air atau musnah akibat serangan tentera.
Keadaan itu semakin meruncing susulan sekatan pihak berkuasa Israel terhadap akses rakyat Palestin ke kawasan di luar apa yang dikenali sebagai ‘garisan kuning’, menyebabkan sebahagian besar Semenanjung Gaza tidak dapat diakses.
Sehubungan itu, agensi kemanusiaan menegaskan keperluan mendesak untuk menyalurkan dana serta mendapatkan kebenaran Israel bagi membawa masuk jentera berat, minyak enjin dan alat ganti.
Bekalan berkenaan diperlukan bagi memastikan kenderaan, peralatan serta generator sokongan dapat terus beroperasi untuk membantu penduduk yang terjejas.







