
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak memberikan sebarang komitmen untuk mengekstradisi pendakwah, Dr. Zakir Naik ke India, setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan juga belum menerima sebarang permohonan ekstradisi terbaharu daripada India berhubung perkara itu.
Beliau berkata, permohonan rasmi ekstradisi terhadap Zakir Naik sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018.
Malaysia turut menerima nota diplomatik daripada Kerajaan India pada 29 Mei 2020 yang memohon supaya permohonan ekstradisi berkenaan dipertimbangkan semula.
Namun, Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah itu ke negara berkenaan.
“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen.
Menurut Saifuddin, keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama Kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan status terkini permohonan ekstradisi Zakir Naik oleh Kerajaan India, termasuk pematuhan dokumen dan keterangan mengikut kehendak undang-undang serta perjanjian antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, kerajaan turut digesa memperjelaskan status perundangan dan diplomatik berhubung permohonan ekstradisi berkenaan yang dipercayai pernah dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.
Zakir Naik dikehendaki pihak berkuasa India berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan menyampaikan ucapan berunsur kebencian.





