
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka berdepan desakan supaya meletak jawatan susulan keputusan Mahkamah Agung membatalkan sijil pengiktirafan kelayakan pendidikan luar negara yang digunakannya ketika bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Keputusan itu mencetuskan persoalan mengenai kelayakan Gibran untuk terus memegang jawatan kedua tertinggi negara berkenaan, khususnya berkaitan syarat minimum pendidikan bagi calon Naib Presiden.
Mahkamah Agung pada 30 Oktober lalu menerima rayuan yang dikemukakan seorang peguam, Subhan Palal, sekali gus membatalkan keputusan dua mahkamah pentadbiran terdahulu yang menolak saman berhubung kesahihan sijil berkenaan.
Sijil itu dikeluarkan Kementerian Pendidikan Indonesia pada 2019 bagi mengiktiraf kelayakan pendidikan luar negara Gibran sebagai setaraf dengan kelulusan sekolah menengah atas di negara itu.
Dokumen berkenaan kemudian digunakan ketika beliau mendaftar sebagai calon Naib Presiden bergandingan dengan Presiden, Prabowo Subianto pada pilihan raya 2024.
Gibran yang juga anak sulung bekas Presiden, Joko Widodo pernah melanjutkan pengajian di Orchid Park Secondary School di Singapura dan UTS Insearch di Australia sebelum memperoleh ijazah sarjana muda daripada Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).
Panel Mahkamah Agung yang dipengerusikan Hakim Yulius bersama dua hakim lain, Maftuh Effendi dan Hari Sugiharto menerima sepenuhnya tuntutan yang dikemukakan Subhan.
Subhan berpendapat keputusan itu sepatutnya membawa kepada pengisytiharan kekosongan jawatan Naib Presiden.
“Presiden perlu segera mencadangkan dua calon kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR), yang kemudian akan memilih seorang daripadanya sebagai Naib Presiden baharu,” katanya kepada The Jakarta Post.
Desakan supaya Gibran berundur turut disuarakan bekas Timbalan Menteri Undang-Undang, Denny Indrayana atas alasan perlembagaan dan moral.
Bagaimanapun, sebarang tindakan pemecatan Naib Presiden perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Perlembagaan Indonesia.





