
FLORIDA: Penyiasat Amerika Syarikat (AS) giat meneliti kemungkinan sebuah jet peribadi berkecai di udara sebelum menjunam ke jalan raya dan meletup dalam nahas di Florida, Ahad lalu, yang mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) berkata, siasatan akan memberi tumpuan kepada kemungkinan terdapat komponen pesawat Learjet 60 itu tercabut ketika berada di udara sebelum terhempas.
Pesawat berkenaan dalam penerbangan dari Austin, Texas ke Bahamas sebelum terhempas 14 kilometer dari resort Mar-a-Lago milik Presiden AS, Donald Trump.
Antara mangsa ialah seorang usahawan teknologi, Adam Robinson bersama isteri, Helen Sharp serta dua anak mereka, Emma dan Charlie. Turut terkorban ialah empat individu lain termasuk pembantu juruterbang berusia 20 tahun.
NTSB pada Isnin berkata, pihaknya turut menyiasat kemungkinan pembentukan ais dan pergolakan udara menyumbang kepada nahas berkenaan.
Menurut agensi itu, kru pesawat memaklumkan kepada menara kawalan trafik udara sejurus selepas berlepas bahawa mereka berdepan keadaan ais dan pergolakan udara sederhana.
Menerusi komunikasi yang direkodkan, kru turut meminta kebenaran untuk menaikkan pesawat ke ketinggian 37,000 kaki ketika melalui hujan.
Namun, kurang 30 saat kemudian, pesawat mula kehilangan altitud sebelum kru mengeluarkan panggilan kecemasan.
Anggota NTSB, Tom Chapman berkata, komunikasi seterusnya menjadi tidak jelas sebelum hubungan dengan pesawat terputus.
“Malangnya, semua yang berada di dalam pesawat terkorban,” katanya.
Rakaman komunikasi trafik udara turut menunjukkan kru memaklumkan pesawat mengalami keadaan overspeed sebelum menjunam pada kadar kira-kira 20,000 kaki seminit.
Mesej terakhir yang kedengaran dari kokpit 35 saat selepas panggilan kecemasan pertama ialah: “Kami sudah kehabisan masa.”
NTSB berkata, faktor ais, pergolakan udara dan ribut petir yang melanda kawasan berkenaan akan diteliti, namun penentuan punca sebenar nahas dijangka mengambil masa panjang.
Penyiasat turut berusaha menentukan sama ada pesawat dilengkapi perakam suara kokpit (CVR) dan sama ada peranti itu dapat ditemukan.
Serpihan pesawat dilaporkan bertaburan di kawasan padang sukan, premis perniagaan dan rumah penduduk berhampiran Military Trail.
Seorang lelaki yang berada di darat turut mengalami kecederaan pada kaki, manakala usaha mengeluarkan bangkai pesawat dari kawah besar di tengah jalan dijangka berdepan kesukaran.






