
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman yang difailkan keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan dua peguam bagi menghalang siasatan polis berhubung dakwaan komplot untuk menjatuhkan kerajaan.
Hakim Indra Nehru Savandiah membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu selepas memutuskan bahawa ia tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah.
Saman berkenaan difailkan balu Daim, Toh Puan Naimah Khalid, dua anak lelaki mereka, Amir dan Amin, serta peguam Amir Zharif Abdullah dan Nizamuddin Hamid terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail dan kerajaan pada awal tahun ini.
Plaintif mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa dan berusaha menghentikan apa yang disifatkan sebagai tuduhan palsu berhubung dakwaan komplot Zionis untuk menggulingkan kerajaan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Indra berkata, tiada bukti kukuh dikemukakan bagi menyokong dakwaan bahawa siasatan polis dijalankan dengan niat tidak baik.
Beliau berkata, siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan berkaitan aktiviti memudaratkan demokrasi berparlimen itu tidak membuktikan wujudnya penyalahgunaan kuasa seperti didakwa plaintif.
“Dakwaan plaintif kenyataan terbuka defendan pertama (Anwar) mempengaruhi siasatan polis hanyalah spekulasi dan tidak disokong fakta yang boleh membuktikan wujudnya niat tidak baik,” katanya.
Mahkamah turut memutuskan tiada pihak diperintahkan membayar kos, manakala alasan penghakiman penuh akan dikeluarkan sekiranya rayuan difailkan.
Sebelum ini, Khalid berkata, polis Bukit Aman sedang menyiasat dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan mengancam kestabilan negara susulan satu laporan polis.
Siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman itu turut melibatkan dakwaan seorang tokoh berpengaruh tempatan bekerjasama dengan sebuah organisasi media antarabangsa dalam komplot berkenaan.
Bagaimanapun, Nizamuddin menafikan dakwaan terbabit dan menyifatkannya sebagai ‘pembohongan terbesar’.
Beliau mengesahkan nama dirinya dan rakan kongsi firma guamannya, Amir Zharif, disebut dalam laporan polis sebagai individu yang menghadiri satu pertemuan dengan Naimah, namun menafikan pertemuan itu mempunyai kaitan dengan sebarang komplot untuk menjatuhkan kerajaan.







