
GEORGETOWN: Seorang penduduk yang diarahkan mengosongkan rumah susulan kejadian tanah runtuh di Lebuh Rambai 13, Taman Seri Rambai, Paya Terubong, di sini, kembali ke kediamannya pagi ini semata-mata untuk memberi makan anjing peliharaannya.
Penduduk yang enggan dikenali itu tiba bersama ibunya dengan menaiki motosikal pukul 8.30 pagi, namun hanya berdiri di hadapan pagar rumah untuk memberi makanan kepada haiwan berkenaan.
“Semalam kami sekeluarga menginap di hotel berhampiran dan tidak membawa banyak barangan. Kami bersyukur semua ahli keluarga selamat, tetapi sekarang tidak tahu apa yang akan berlaku.
“Rumah ini sudah tentu tiada siapa mahu beli selepas kejadian ini,” katanya.
Bagaimanapun, dia kemudian bergegas meninggalkan kawasan rumah selepas diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Kejadian tanah runtuh itu mengorbankan seorang doktor, Dr. Wong Kar Lin, 73, manakala isterinya, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mangsa, Wong Poh Lim, 86, terselamat.
Mangsa ditemukan tertimbus di bahagian dapur selepas kejadian dilaporkan kepada pasukan keselamatan pada pukul 8.36 pagi semalam.
Sementara itu, penduduk sekitar turut dilihat berada berhampiran kawasan kejadian, manakala beberapa pengguna jalan raya berhenti untuk merakam gambar dan melihat keadaan rumah yang terjejas.
Seorang penduduk warga emas, Goh, 80, berkata dia sudah menetap di kawasan itu sejak lebih 40 tahun lalu dan mengenali kebanyakan penghuni yang tinggal berhampiran lokasi kejadian.
“Rumah saya hanya selang beberapa unit daripada rumah mereka yang terpaksa berpindah.
“Semua mereka sangat baik. Selepas ini susahlah mahu berjumpa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa mengarahkan penghuni enam rumah berhampiran lokasi tanah runtuh mengosongkan kediaman masing-masing serta-merta sebagai langkah keselamatan.
Arahan menghentikan kerja pembinaan di kawasan berkenaan turut dikeluarkan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada penduduk setempat.






