
SEREMBAN: Seorang bekas banduan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini bagi pertuduhan membunuh isterinya yang juga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), 11 Oktober lalu.
Tertuduh, Mohd Khairudin Safi’ai, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim, 35, pukul 7 malam di sebuah unit di Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA pada 15 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip memohon tarikh baharu bagi sebutan kes untuk mendapatkan laporan bedah siasat.
Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak boleh dijamin.






