
KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan memprotes keputusan pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak boleh membawa maksud mencabar serta menderhaka kepada kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengampunan bersyarat yang diberikan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan hak dan kuasa Perlembagaan Yang di-Pertuan Agong yang wajib dihormati semua pihak.
Beliau berkata, UMNO berpendirian sebarang tindakan yang memperlihatkan unsur protes, termasuk menjadikan keputusan berkenaan sebagai alasan untuk mengambil tindakan tertentu, tidak seharusnya berlaku.
“UMNO berpendirian sebarang perbuatan yang memperlihatkan unsur-unsur protes termasuk menjadikan keputusan pengampunan bersyarat yang dititahkan sebagai alasan sesuatu tindakan diambil, ia boleh membawa maksud kepada mencabar dan menderhaka terhadap kuasa Perlembagaan Tuanku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO akan terus mempertahankan kemuliaan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong serta Institusi Raja-Raja Melayu.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong untuk ketegasan titah berhubung pengampunan bersyarat yang membawa kepada pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.
Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara berteraskan undang-undang dan semua pihak bertanggungjawab mempertahankan proses perundangan yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
“Malaysia adalah negara hukum dan selagi mana proses yang melibatkan soal perundangan tertakluk dalam kerangka Perlembagaan, menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk mempertahankannya,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan lafaz menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong serta seruan, “Daulat Tuanku”.





