
AYER KEROH: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik cadangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyerahkan gaji menterinya bagi membiayai usaha memperjuangkan pelaksanaan mekanisme tahanan rumah.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, sumbangan itu sepatutnya turut merangkumi elaun yang diterima Mohamad sekiranya beliau benar-benar ikhlas mahu membantu usaha berkenaan.
“Bagus. Itu cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji, tetapi elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival KEMAS – Khatam Perdana Pra Tahfiz di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Cadangan Mohamad itu bertujuan membantu membiayai organisasi masyarakat sivil (CSO) yang memperjuangkan pelaksanaan mekanisme tahanan rumah, membolehkan banduan menjalani sebahagian tempoh hukuman di penjara sebelum meneruskan baki hukuman di rumah.
Semalam, Mohamad menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi menyokong usaha berkenaan, namun tidak termasuk elaun berjumlah RM11,900.
Beliau turut menegaskan prinsip keadilan perlu ditegakkan tanpa sebarang diskriminasi, keistimewaan terpilih atau layanan berbeza terhadap mana-mana banduan.




